Tercalon bersama coach JDT dan Selangor, Aidil Sharin tidak mahu terlebih fokus menang kategori Jurulatih Terbaik


  • Podium
  • Rabu, 09 Apr 2025

Aidil Sharin membantu The Cats berada di kelompok 4 teratas setakat ini. — Facebook/KuchingCity

PENGENDALI Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak gembira dengan pencapaian peribadinya apabila tercalon buat kali ke-4 untuk merebut trofi Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025.

Kualiti jurulatih dari Singapura ini mula mencuri tumpuan ketika bersama Kedah pada musim 2019 sehingga berjaya membawa pasukan menjuarai Piala FA dan naib juara Piala Malaysia pada waktu itu sekaligus melayakkan beliau untuk berada di kelompok tiga terbaik ABK 2019.

Berjaya tercalon sejak musim 2019 sehingga 2021, membuktikan Aidil Sharin merupakan jurulatih yang mempunyai aura tersendiri untuk membentuk skuad terbaik termasuklah pada musim ini selepas mampu membawa The Cats melangkah ke kelompok lima teratas Liga Super setakat ini.

BACA LAGI: Maaf Sabah dan Kuching City, Top 3 Liga Super milik Terengganu

BACA LAGI: Kelab Lembah Klang berputih mata, Aidil Sharin pilih kekal di Kuching

Bagaimanapun, beliau sedar sukar memenanginya dengan dua lagi calon iaitu Hector Bidoglio dari Johor Darul  Ta'zim (JDT) dan jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi mempunyai prestasi yang tidak perlu disangkal lagi.

Hal ini kerana, kedua-dua jurulatih import berkenaan berjaya meletakkan Harimau Selatan dan Gergasi Merah di kedudukan terbaik liga selain kedua-duanya merupakan finalis Piala FA 2024-2025.

"Sejujurnya saya tidak mahu terlebih fokus untuk memenangi kategori ini (Jurulatih Terbaik) dan bersyukur sejak saya di Liga Malaysia sebagai jurulatih, saya terpilih untuk tercalon dalam kategori ini.

"Hanya rezeki sahaja tidak memihak kepada saya, tetapi untuk kembali tercalon selepas saya kembali sebagai jurulatih di Kuching City, saya gembira sebab bukan mudah untuk berada di tahap ini.

"Tambah-tambah apabila kita boleh tengok pasukan Kuching City yang musim lepas di tangga 13 liga, sekarang boleh berada di kelompok 4 teratas, Alhamdulillah," katanya memetik laporan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL). 

Aidil Sharin (kanan) menyertai The Cats pada awal musim ini. — Facebook/KuchingCity

Bidoglio yang berjaya meletakkan skuad Harimau Selatan selaku juara Liga Super musim ini tercalon buat kali kedua selepas kali pertama dicalonkan dalam kelompok 10 terbaik pada musim 2022.

Manakala, Kinoshi yang juga hadir buat julung kali ke pentas Liga Malaysia layak tercalon untuk merebut trofi Jurulatih Terbaik kali ini selepas berjaya meletakkan Selangor selaku naib juara Liga Super 2024-2025. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram