Berbisa dari 12 ela, 3 import Liga M termasuk sepupu bintang Liverpool miliki rekod penalti sempurna


  • Podium
  • Rabu, 09 Apr 2025

Antara nama yang terkenal dengan sepakan penaltinya ialah Bergson dari JDT. — Facebook/JDT

DALAM dunia bola sepak, sepakan penalti sering menjadi detik paling mendebarkan dalam sesuatu perlawanan kerana ia menuntut ketenangan dan ketajaman pemain, malah menjadi penentu kemenangan pasukan dalam saat-saat genting.

Sepakan penalti kelihatan mudah, namun tekanan tinggi yang menyelubungi situasi tersebut sering kali menjadi cabaran besar kepada pemain. Ramai pemain ternama gagal dalam detik-detik penting, tetapi ada juga yang mampu mengekalkan rekod sempurna. 

Dalam konteks Liga Malaysia (Liga M), kehadiran pemain import telah membawa dimensi baharu dalam kualiti permainan terutamanya dalam aspek penyudah di hadapan gawang dan disebabkan itu, mereka sering diberi kepercayaan sebagai pengambil sepakan penalti utama pasukan. 

BACA LAGI: JDT berwajah baharu, 3 bintang muda jadi watak penting, pacu adrenalin Harimau Selatan musim depan

BACA LAGI: Bekas 'ubi muda' JDT kembangkan sayap ke Jerman, cetak hatrik di divisyen ke-7 Bundesliga

Ada di antara mereka yang mencatatkan rekod luar biasa apabila tidak pernah gagal menjaringkan gol dari sepakan penalti sepanjang karier mereka. Kecekapan itu mencerminkan tahap profesionalisme dan kemahiran teknikal yang tinggi.

Antara nama yang terkenal dengan sepakan penaltinya ialah Bergson da Silva dari Johor Darul Ta'zim (JDT). Keupayaannya mengekalkan konsistensi dalam situasi tekanan tinggi menjadikannya antara pemain import paling dipercayai dalam liga. 

Bagaimanapun, Bergson bukan import yang memiliki rekod sempurna dalam sepakan penalti susulan terdapat tiga tonggak import tidak pernah terlepas sepakan penalti ini dalam karier mereka;

1) Herlison Caion

​Bekas penyerang import yang kurang menyerlah di Selangor FC, Herlison Caion menunjukkan ketajamannya di hadapan gawang lawan dengan mencatatkan enam jaringan penalti tanpa gagal sepanjang karier bersama Gergasi Merah pada musim 2022. 

Salah satu detik paling bermakna ialah ketika pemain dari Brazil itu menyempurnakan sepakan penalti dalam perlawanan akhir Piala Malaysia menentang JDT pada 26 November 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.  ​

Dalam perlawanan itu, Caion membuka tirai jaringan pada minit ke-45 selepas dijatuhkan oleh Matthew Davies, dalam kotak penalti. Namun, JDT berjaya bangkit dan memenangi perlawanan dengan keputusan 2-1 hasil jaringan Bergson da Silva dan Fernando Forestieri. ​

Bercakap mengenai keseluruhan gol pula, pemain berusia 34 tahun itu menyumbang 24 jaringan gol dan tujuh bantuan jaringan sepanjang khidmatnya digunakan pada musim Liga Malaysia 2022 tersebut. 

Walaupun, rekod sempurna Caion dalam menyempurnakan sepakan penalti sepanjang musim 2022 menonjolkan ketenangan dan kemahirannya dalam situasi tekanan tinggi tetapi Gergasi Merah melepaskan pemain itu pada musim 2023.

2) Luciano Guaycochea

Pemain tengah kelahiran Argentina, Luciano Guaycochea telah menunjukkan ketajaman dalam menyempurnakan sepakan penalti sepanjang karier profesionalnya dengan menjaringkan sembilan gol dari jarak 12 ela. 

Semasa beraksi dalam Liga Super Malaysia bersama Perak FC pada musim 2024/2025, Guaycochea telah tampil dalam 18 perlawanan aksi Liga Super dengan, menjaringkan lima gol sepakan penalti. 

Manakala, enam lagi gol yang direkodkan sepupu bintang Liverpool, Alexis Mac Allister itu pada musim ini diperoleh daripada secara terbuka dan sepakan percuma. Pemain beraksi di posisi tengah itu sememangnya tulang belakang Perak sejak musim 2022. 

Selain sikap kepimpinan kepakarannya dalam sepakan penalti serta sepakan percuma untuk membantu pasukan mendapatkan mata, Guaycochea juga memiliki visi yang baik untuk membuka ruang dan mencipta peluang buat penyerang.

Untuk rekod, pemain berusia 32 tahun berkenaan ​menyertai Perak FC pada 14 Jun 2022 dengan kontrak sehingga 31 Mei 2025. Sebelum ini, Guaycochea beraksi bersama kelab Bolivia iaitu Oriente Petrolero.​ 

3) Bruno Suzuki

Bruno Suzuki menyertai PDRM FC pada musim 2021, yang ketika itu The Cops beraksi untuk Liga Perdana Malaysia. Dalam musim pertamanya, dia menjadi penjaring terbanyak kelab dengan tujuh gol, walaupun pasukan menamatkan musim di tempat kelapan liga. 

Selepas tempoh enam bulan bersama Bangkok FC di Thailand, Suzuki kembali ke PDRM FC pada Januari 2023 dengan kontrak sehingga 31 Mei 2025. Dia diberikan jersi nombor 9 dan terus beraksi sebagai penyerang utama pasukan.  

Dalam musim 2023, PDRM FC beraksi dalam Liga Super Malaysia selepas dinaikkan pangkat dan menyaksikan Suzuki menyumbang 10 gol dalam kempen liga tersebut, menjadikannya penjaring terbanyak pasukan untuk musim itu.

Bagi rekod sepakan penalti pula, pemain berusia 34 tahun itu menjaringkan sebanyak empat gol. Ia membuktikan keupayaannya menyelesaikan peluang dengan tenang menjadikannya salah satu pemain yang sangat diperlukan di jentera serangan.

Selain memiliki fleksibiliti yang sangat penting untuk membantu PDRM FC. Selain beraksi sebagai penyerang utama, Suzuki juga boleh berperanan sebagai penyerang sokongan atau pemain sayap. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram