
NASIB malang terus melanda Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas laporan terbaru mengatakan mereka hadir dengan hanya 17 pemain bagi aksi Liga Super menentang Sri Pahang FC di tempat lawan.
Berdasarkan perkongsian Fadhirul Shuhaimi, skuad Sang Kenari hadir ke perlawanan di Stadium Temerloh, Pahang tanpa kelibat beberapa tonggak utama yang pasti menyukarkan misi meraih tiga mata penuh.
Perkhabaran itu merupakan episod terbaru dalam pelbagai kemelut memeritkan dialami pasukan terbabit yang sudah bergelut dengan isu kewangan sejak awal musim lalu.
BACA LAGI: Terlalu bergantung bukti KDA FC bukan capai taraf kelab profesional — Zulakbal
BACA LAGI: Kepak Sang Kenari puji usaha bersama bantu selamatkan KDA FC
Meskipun pihak pengurusan sudah menyatakan perancangan untuk menyelesaikannya, KDA FC masih tidak lari daripada masalah yang sudah tentu membuatkan penyokong tidak lagi tertarik untuk memberi dorongan.
Ini termasuk peminat setia pasukan, Afiq Rowley yang yang mula pasrah sekiranya kelab itu dibubarkan daripada terus bergelut dari segi pengurusan pada tahun-tahun akan datang.
"Sekiranya keadaan ini berlanjutan tanpa sebarang inisiatif, lebih baik saya ucapkan selamat tinggal Kedah lebih awal. Apa gunanya terus bertahan jika segalanya tidak berjalan baik?
"Kasihani pemain, staf dan barisan kejurulatihan yang merana tanpa gaji. Jika masih wujud musim depan, saya rasa masalah sama pasti melanda jika tidak diperbaiki," katanya kepada Majoriti.
Isu kewangan dialami KDA FC adalah begitu teruk sehingga timbul khabar angin mengatakan kelab Utara tanah air tersebut akan dibubarkan sekiranya tiada pelaburan diterima.
Skuad Sang Kenari dilaporkan tidak cukup bersedia bagi perlawanan menentang Sri Pahang FC. — Facebook/KDA FC
Tidak terhenti di situ, pihak pengurusan juga seperti berdepan jalan buntu dalam mencari penyelesaian sehingga terpaksa menerima ihsan pihak luar untuk mengurangkan tekanan dialami pasukan.
Ini termasuk inisiatif duit raya daripada pelbagai pihak termasuk sumbangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum sambutan Aidilfitri yang diharapkan mampu mengubati luka pemain.
Bagaimanapun, perkhabaran diterima sebelum aksi Liga Super pada Selasa menceritakan skuad Sang Kenari masih terluka dengan sikap berdiam diri diambil pihak atasan.
Dalam pada itu, Afiq yang merupakan pemerhati bola sepak tempatan turut meletakkan harapan supaya KDA FC dapat menyelesaikan tunggakan sedia ada meskipun sudah dibubarkan.
Afiq yang merupakan penyokong tegar KDA FC mengakui hiba dengan situasi semasa pasukan. — Facebook/Afiq Rowley
"Sangat menyedihkan. Tapi sebagai peminat apa lagi yang kami boleh buat selain terus memberi sokongan sehingga ke titisan darah terakhir. Harapan saya, semoga segala permasalahan ini dapat diselesaikan
"Jika Kedah tidak wujud lagi pada saingan akan datang, sekurang-sekurangnya mereka menyelesaikan baki tunggakan gaji kepada semua yang terkena tempias," katanya.
Sekiranya tiga mata penuh berjaya dibawa pulang Victor Andrag serta anak-anak buahnya, mereka mampu melonjak ke tangga ke-10 dengan hanya perbezaan gol membezakan KDA FC dan Sri Pahang FC ketika ini.
Bagaimanapun, misi untuk sememangnya sukar untuk dilaksanakan melihat kepada rentetan tiga kekalahan berturut-turut yang dialami serta isu pemain tidak mencukupi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram