Beri jersi kepada Tengku Mahkota Pahang, Tok Gajah bakal rekrut import Nepal musim depan?


  • Podium
  • Ahad, 06 Apr 2025

Adakah Sri Pahang akan terus bersaing di Liga Super musim depan?

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, sebelum ini mengesahkan bahawa kedua-dua Sri Pahang FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mungkin tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super musim 2025/26.

Tunku Ismail turut menjelaskan bahawa masalah itu berpunca daripada pengurusan kewangan yang tidak cekap, yang mana perbelanjaan melebihi pendapatan.

Namun baru-baru ini Sri Pahang tampak ada harapan selepas Tunku Ismail bertemu dengan pemiliknya, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, yang dipercayai membincangkan kelangsungan pasukan bagi saingan musim depan.

BACA LAGI: Pemilik Man City pernah dapatkan khidmat bintang Selangor

BACA LAGI: Bawa Quaresma ke Alor Setar, Kedah di landasan tepat usaha pulih kewangan — Ramon Marcote

Manisnya lagi, dalam perkembangan terbaharu, barisan kejurulatihan dan pemain Sri Pahang turut menarik nafas lega apabila masalah tunggakan gaji yang melanda pasukan itu sebelum ini akhirnya selesai.

Perkara itu dikongsikan oleh pengurus pasukan, Datuk Dollah Salleh yang mendedahkan tunggakan gaji sudah dibayar sepenuhnya pada Ramadan dan mengharapkan skuad itu memberi fokus kepada final Piala Malaysia.

Susulan perjumpaan Tunku Ismail dengan Tengku Abdul Rahman, pastinya pelbagai isu dikupas demi menyelamatkan bola sepak Pahang.

 

 

Terbaharu, penyerang kebangsaan Nepal, Gillespye Jung Karki pula berkongsi gambar memberi jersinya kepada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ketika berkunjung ke Kuala Lumpur semasa perlawanan menentang Harimau Malaya pada minggu lalu.

Ia menimbulkan tanda tanya adakah pemain kebangsaan Nepal itu akan direkrut oleh Sri Pahang sekali gus memberikan gambaran bahawa Tok Gajah terus hidup bagi saingan musim depan.

Namun itu semua hanyalah khabar angin, tetapi apa yang pasti, Gillespye juga dikenali kerana persahabatannya dengan Tengku Hassanal.

 

 

Mereka bertemu semasa menjalani latihan di Royal Military Academy Sandhurst (RMAS) di United Kingdom dan telah mengekalkan hubungan rapat sejak itu.

Untuk rekod, Gillespye telah bermain untuk beberapa pasukan, termasuk Tribhuvan Army FC dan Kathmandu RayZrs FC dalam Nepal Super League.

Di peringkat antarabangsa, Gillespye mewakili pasukan kebangsaan Nepal yang mana dia telah memperoleh lapan kaps dan menjaringkan satu gol untuk negaranya. ​— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram

 

Sri Pahang, Sri Pahang Bubar, TMJ, MFL, Liga Super