
PERLAWANAN persahabatan yang dinanti-nantikan antara pasukan All Star Kedah dan All Star Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat (11 April) secara rasminya ditangguhkan ke satu tarikh baharu yang akan dimaklumkan kelak.
Penangguhan itu diumumkan oleh penganjur selepas mengambil kira beberapa faktor yang memerlukan persetujuan bersama daripada semua pihak terlibat.
Bintang jemputan khas bertaraf dunia, Ricardo Quaresma, yang dijadualkan membuat penampilan khas dalam perlawanan tersebut turut tampil dengan rakaman video permohonan maaf kepada semua peminat serta penyokong yang menantikan kehadirannya.
BACA LAGI : Bawa Quaresma ke Alor Setar, Kedah di landasan tepat usaha pulih kewangan — Ramon Marcote
BACA LAGI : 'Rupanya pernah dikait ke Kedah, kehadiran Quaresma akan gamatkan Darul Aman'
Melalui klip video yang dikongsikan pemain dari Portugal itu memaklumkan tidak dapat hadir ke acara berkenaan disebabkan faktor kecemasan dan kesihatan ahli keluarganya pada ketika ini.
"Salam kepada semua peminat di Daroula, di sini saya ingin beritahu anda bahawa saya tidak akan dapat ke sana.
"Malangnya, saya tidak menghadiri acara besar pada 11 April. Saya sangat menyesal. Saya terpaksa menemani seorang saudara saya yang kini terlantar di hospital.
“Tetapi pada 22 April ini, saya berharap dapat bersama anda untuk menerima kasih sayang ini.
“Saya hanya perlu bersyukur dan juga memberitahu anda sayang sangat ingin bertemu anda semua untuk memahami bagi bola sepak anda, bagaimana budaya anda, kerana saya seorang yang suka belajar.
"Saya akan ke sana pada 22 April ini, dan sekali lagi terima kasih banyak-banyak dan terima kasih atas pemahaman anda," katanya.
Terdahulu, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar melalui satu kenyataan perlawanan antara kedua pasukan anjuran Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bersama Malaysia Football Museum yang dijadualkan pada Jumaat ini di Alor Setar, Kedah terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh baharu.
"Pihak pengurusan Sang Kenari dan penganjur bersama merakamkan permohonan maaf kepada seluruh peminat bola sepak tanah air, khususnya kepada penyokong yang membeli tiket perlawanan.
"Dengan penuh rasa dukacita, pihak kami terpaksa menunda perlawanan ini ke satu tarikh baharu. Keputusan ini dibuat selepas menerima makluman bahawa tetamu jemputan khas, Ricardo Quaresma tidak dapat terbang ke Kedah pada 7 April 2025 seperti dijadualkan.
"Namun pihak penganjur masih meneliti kesesuaian tarikh tersebut memandangkan pasukan KDA FC bakal menghadapi perlawanan terakhir Liga Super menentang Terengganu FC dalam tempoh yang sama," katanya.
Mohd Daud juga memberitahu pihaknya akan memaklumkan tarikh rasmi baharu bagi aksi persahabatan berkenaan sebaik mendapat tarikh rasmi yang baharu selain status tiket percuma di atas pembelian tiket aksi perlawanan persahabatan itu dan hal berkaitan tempahan jersi edisi khas All Star.
"Berkenaan tawaran tiket percuma ke perlawanan KDA FC vs Sabah FC (melalui pembelian tiket All Star sebelum ini), tawaran ini tidak akan diteruskan untuk jualan akan datang, memandangkan Liga Super bakal berakhir pada minggu ketiga April," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram