
SAINGAN Liga Super musim 2024/2025 semakin menemui muka surat terakhir dengan banyak pasukan juga masing-masing sudah merangka perancangan mereka sebagai persediaan musim baharu nanti.
Laporan khabar angin mengaitkan beberapa pemain dengan kelab Liga Super juga sedang rancak dibualkan. Misalnya Sabah FC yang tidak ketinggalan sedang dikaitkan dengan penyerang Perak FC, Clayton da Silveira.
Meskipun ia sekadar khabar angin yang berlalu dalam kalangan penyokong The Rhinos, ramai mengharapkan ia menjadi kenyataan susulan Sabah kini kehilangan penyerang import mereka iaitu Joao Pedro.
BACA LAGI: Penuhi impian Yusri Che Lah, Perak 'comeback' kutip 3 mata di Stadium KL
BACA LAGI: 'Kemenangan berbaloi', YCL buat keputusan tepat kekalkan Azfar walaupun alami kecederaan lutut
Pada Februari lepas, penyerang dari Brazil berkenaan meninggalkan kelab berpangkalan di Borneo tanah air itu selepas menerima tawaran untuk menyertai kelab Ho Chi Minh City di Vietnam secara pinjaman.
Sekiranya Ho Chi Minh City berminat untuk menjadikan Pedro sebagai pemain tetap, ia merupakan peluang keemasan buat Sabah meraih keuntungan susulan penyerang berusia 25 tahun itu mempunyai kontrak sehingga Jun 2025.
Oleh itu, tidak hairan jika Sabah sudah bersedia untuk membawa masuk Clayton sebagai calon pengganti lagi-lagi pemain The Bos Gaurus (TBG) itu sudah menampilkan persembahan memberangsangkan dalam tempoh semusim ini.
Untuk rekod, pemain berusia 29 tahun itu sudah menyumbang 10 jaringan gol dan tujuh bantuan jaringan dalam 24 perlawanan Clayton diturunkan pada musim ini.
Pedro menerima tawaran untuk menyertai kelab Ho Chi Minh City di Vietnam secara pinjaman. — Facebook/SabahFC
Paling manis, apabila Clayton menjaringan empat gol ketika membantu Perak menewaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC dengan kemenangan besar 7-0 dalam aksi Liga Super pada 26 Januari 2025 lepas.
Keputusan berkenaan juga membawa makna berbeza buat kelab bimbingan Yusri Che Lah tersebut kerana ia merupakan kemenangan terbesar bagi saingan Liga Super musim ini secara keseluruhan.
Ini termasuk rekod jaringan diraih pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang kemenangan terbesar mereka setakat ini adalah ketika bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan keputusan 6-0.
Dengan kontraknya yang akan tamat pada 31 Mei 2025 ini, ia adalah masa sesuai untuk Sabah mendekati Clayton dan menawarkan tawaran yang baik bagi memujuknya berhijrah ke skuad The Rhinos pada musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram