Legenda Sabah mahu kembalikan gaya OKS, percaya Saddil kunci The Rhinos buru tangga ke-3


  • Podium
  • Selasa, 08 Apr 2025

Saddil terus beraksi cemerlang buat skuad Sang Badak memasuki musim keempat di kelab tersebut. — Facebook/Sabah FC

SELEPAS terlepas tempat kedua Liga Super, Sabah FC kini menyasarkan kedudukan ketiga dengan mengharapkan akan mendapatkan tiga mata penuh dalam tiga lagi perlawanan terakhir mereka musim 2024/2025. 

Perlawanan menentang PDRM FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah malam ini perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh Sang Badak susulan ia akan menjadi tonik tambahan mereka menjelang aksi menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Perak FC. 

Empat keputusan seri yang dihasilkan pasukan bimbingan Martin Stano sebelum ini menyaksikan Sabah perlu mencipta kemenangan jika mereka impi menghuni carta tiga terbaik Liga Super musim ini.

BACA LAGI: 'Setia itu mahal', bintang Kedah-Sabah-Sri Pahang paling lama tak berhijrah dalam Liga Super

BACA LAGI: Ura-ura tinggalkan Sabah timbul lagi, dengarnya Saddil sertai bekas coach Liga Super di Indonesia

Bagaimanapun, ramai yang khuatir jika pasukan yang berpangkalan di Borneo tanah air berkenaan boleh meraih keputusan positif selepas gagal memperoleh kemenangan sejak empat perlawanan lalu.

Kebimbangan berkenaan turut disuarakan oleh legendanya, Matlan Marjan yang khuatir jika Stano menurunkan pemain simpanan dengan alasan ingin memberikan peluang kepada pemain muda di akhir musim. 

Menurutnya, pengendali dari Slovakia itu boleh merujuk cara ketua jurulatih Sabah sebelum ini iaitu Datuk Ong Kim Swee jika serius mahu mendapatkan tiga mata bertemu PDRM pada petang ini. 

"Saya rasa dari awal musim, saya sudah beritahu untuk mendapat tempat ketiga memang payah. Kalau mereka dapat tempat ketiga, bersyukurlah. Tapi malam ini, saya takut siapa pemain kesebelasan yang akan diturunkan lagi. 

"Saya rasa dia (Stano) harus kekalkan kesebelasan utama semasa Datuk Ong (Kim Swee). Sekarang ini kita tengok pun banyak pemain tidak diturunkan. Budak baru diberi peluang bermain. 

"Kadang pada hujung musim begini, ramai yang senaraikan pemain utama sabagai simpanan. Jangan beranikan ambil risiko dengan keluarkan pemain-pemain muda yang baru, tetapi gunakan pemain yang lama," katanya kepada Majoriti

Dalam itu, Matlan yang beraksi di posisi penyerang pada zaman kariernya sebagai pemain itu juga meletakkan harapan kepada penyerang sayap Indonesia iaitu Saddil Ramdani sebagai tonggak utama bagi aksi Liga Super 2024/2025 pada Selasa. 

Legenda Sabah FC, Matlan Marjan.

Dijangka pemain berusia 26 tahun berkenaan akan terus menjadi pilihan utama barisan kejurulatihan untuk memperkukuhkan aspek serangan Sabah terutama daripada segi ketajaman dan kreativiti.

"Saya masih lagi mengharapkan kepada Saddil untuk menjadi tonggak utama dalam Sabah FC ini. Sebab saya tengok dia (Saddil) memang laju dan sering memberi peluang dan juga boleh membuat jaringan," jelasnya. 

Setakat ini, bekas pemain kebangsaan Indonesia itu telah beraksi sebanyak 18 perlawanan bersama Sabah dan telah merekodkan tujuh gol bersama tiga bantuan jaringan secara keseluruhan.

Selain memiliki keupayaan tinggi selaku pemain sayap kanan, Saddil juga mempunyai kelebihan bermain di posisi kiri menerusi aksi berkualiti tinggi yang pernah dipamerkan oleh pemain itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram