
DALAM konteks bola sepak moden, satu perkara yang kelihatan sukar untuk dilihat adalah kesetiaan seseorang pemain terhadap kelabnya.
Hampir setiap musim, tak kira di liga mana pun, pemain akan sentiasa berpindah demi mendapatkan gaji dan minit permainan yang lebih baik untuk karier mereka.
Bagaimana pula di Malaysia? Di negara kita masih ada pemain yang terus setia bersama kelab baik semasa senang atau susah.
BACA LAGI: Azam Azih, duo 'ex' JDT patut dalam senarai Fandi Ahmad lawan Kuching City
Amirul Hisyam Awang Kechik
Antara pemain yang paling lama berkhidmat di satu-satu kelab adalah pemain tengah Kedah Darul Aman FC, Amirul Hisyam Awang Kechik. Dia sudah bersama-sama Kedah selama sembilan tahun tiga bulan.
Pemain tengah itu sudah bersama-sama Kedah sejak 2016 apabila dia meninggalkan Harimau Muda B. Di Kedah, dia beraksi di pelbagai posisi termasuklah menjadi pertahanan tengah.
Amirul bermain di pelbagai posisi untuk Kedah.
Berusia 29 tahun, musim ini Amirul melakukan 13 penampilan dalam Liga Super sambil menghasilkan satu gol. Selain itu, dia turut beraksi sebanyak enam kali dalam Piala Malaysia dan Piala FA.
Mempunyai tiga penampilan bersama Harimau Malaya, Amirul mempunyai dua kejuaraan Piala FA bersama Kedah sepanjang kariernya.
Rawilson Batuil
Nama ini cukup popular bersama-sama skuad Sabah FC. Tidak keterlaluan untuk mengatakan yang Rawilson Batuil adalah ikon bola sepak Sabah.
Bersama Sabah selama 11 tahun dua bulan, pemain kelahiran Kota Marudu itu bersama Sabah sejak dari skuad remaja hinggalah kini menjadi salah seorang watak senior dalam skuad Badak.
Rawilson sudah lebih sedekad bersama Sabah.
Pemain pertahanan tengah itu musim ini menghasilkan 16 penampilan Liga Super serta 6 lagi kemunculan buat Sabah dalam Piala Malaysia dan Piala FA.
Rawilson antara beberapa pemain yang dalam kategori unik apabila dia cuma mempunyai satu penampilan bersama Harimau Malaya.
Azam Azih
Hidup matinya hanyalah untuk Tok Gajah. Jika Sabah ada Rawilson, Sri Pahang mempunyai Azam Azih sebagai ikon bola sepak mereka.
Bersama-sama Amirul dalam Harimau Muda B, Azam kemudiannya terus berbakti bersama-sama Sri Pahang dari musim 2015 hingga sekarang. Menjadikan dia sudah bersama Tok Gajah selama 9.5 tahun.
Azam diraikan ketika penampilan ke-200 bersama Sri Pahang.
Musim ini, Azam melakukan 19 penampilan di Liga Super sambil mencatatkan satu bantuan gol. Dalam Piala Malaysia dan Piala FA, Azam menghasilkan empat penampilan kesemuanya.
Bersama Harimau Malaya, Azam sudah melakukan 24 penampilan sejak mula beraksi untuk negara pada 2017. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram