JDT berwajah baharu, 3 bintang muda jadi watak penting, pacu adrenalin Harimau Selatan musim depan


  • Podium
  • Selasa, 08 Apr 2025

Harimau Selatan bakal dipenuhi dengan kelompok pemain-pemain import lebih muda pada saingan musim depan. — Facebook/JDT

PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) mensasarkan Harimau Selatan bakal dipenuhi dengan kelompok pemain-pemain import lebih muda pada saingan musim depan.

Idea tersebut tercetus selepas melihat JDT musim ini cenderung membawa masuk pemain berusia kerana mahu membantu Harimau Selatan mara lebih jauh dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Perkara itu disampaikan Tunku Ismail ketika sesi soal jawab bersama penyokong-penyokong JDT selepas Harimau Selatan tewas di tangan Buriram United dalam aksi pusingan ke-16 ACLE dengan keputusan 0-1 pada 11 Mac lalu.

BACA LAGI: 'Kalaulah ada 10 TMJ di Malaysia', fans harap pihak pengurusan kelab lain jaga 'rapat' kebajikan pemain

BACA LAGI: Tiada lagi 'national call', pemain kacukan JDT, KL dan Pahang semakin lenyap dari HM

Selain menyasarkan pemain import berusia bawah 30 tahun, Harimau Selatan juga nampaknya akan memberi peluang kepada tenaga muda tempatan untuk merebuy kesebelasa utama JDT pada musim baharu nanti. 

Meletakkan pemain muda sebagai taruhan utama bukan satu masalah besar buat Harimau Selatan susulan JDT mempunyai ramai tonggak berusia 31 tahun ke bawah yang boleh menjadi pengganti bintang sedia ada. 

Oleh itu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang boleh menjadi menjadi watak utama JDT pada musim depan;

1) Azam Azmi Murad

Azam Azmi bakal memperkuatkan posisi pertahanan kanan JDT pada musim depan. — FacebookTFC

Pada awal musim 2024/2025, penyokong Terengganu FC (TFC) dikejutkan dengan perpindahan bek muda mereka iaitu Azam Azmi Murad ke Harimau Selatan selepas empat musin menyarung jersi skuad Sang Penyu. 

Meskipun sah menandatangani kontrak bersama JDT namun pemain kebangsaan berkenaan masih kekal bermain untuk Terengganu pada musim ini susulan Harimau Selatan memberinya peluang mencari minit permainan bersama skuad Peteh.

Satu musim yang konsisten bersama Terengganu, khidmat Azam Azmi pastinya tidak mahu dilepaskan Harimau Selatan dengan pemain berusia 24 tahun itu merupakan calon sesuai memberi saingan kepada Matthew Davies. 

Musim ini, pemain kelahiran Pulau Pinang itu sudah tampil dalam 30 perlawanan untuk Terengganu dengan Azam Azmi juga menjaringkan satu gol dan lima bantuan jaringan untuk skuad Sang Penyu. 

2) Manuel Hidalgo

Hidalgo beraksi di posisi sayap kanan. — Facebook/SriPahang

Penyerang sayap import, Manuel Hidalgo juga merupakan pemain baharu Harimau Selatan yang diumumkan pada awal musim 2024. Namun, khidmat pemain kelahiran Argentina itu buat masa ini digunakan oleh Sri Pahang FC. 

Hidalgo yang beraksi bersama skuad Tok Gajah sebagai pemain pinjaman menjadi tulang belakang Sri Pahang pada musim ini dan pencapaian terbaiknya apabila membantu Tok Gajah mara ke pusingan final Piala Malaysia. 

Pemain yang beraksi di posisi sayap kanan itu membuktikan kualitinya di barisan serangan dengan meledak tujuh jaringan gol dan membuat empat bantuan jaringan dalam 23 aksi domestik Hidalgo bermain untuk Sri Pahang. 

Dikenali dengan kepantasan, kawalan bola yang baik dan kemampuan untuk melakukan larian berbahaya di sisi padang, tonggak berusia 25 tahun itu pastinya akan menggugat posisi beberapa pemain berusia di posisi sayap kanan atau kiri. 

Selepas satu musim meminjamkan Hidalgo ke Sri Pahang, sudah saatnya Harimau Selatan menggunakan kudrat pemain itu untuk membantu memperkuatkan jentera serangan dalam saingan domestik mahupun ACLE. 

3) Christian Abad 

Abad kini banyak digunakan untuk skuad JDT II. — Facebook/JDT

Penjaga gol muda warisan Harimau Selatan, Christian Abad dilihat boleh menjadi pelaburan jangka masa panjang untuk juara bertahan Liga Super itu kerana usianya yang baru memasuki 18 tahun. 

Dari segi pengalaman beraksi di peringkat kelab, Abad pernah menimba ilmu bersama skuad muda Valencia dan juga CD Alcoyano sebelum pemain itu membawa haluan baharu ke Elche CF. 

Manakala, di peringkat remaja pula, Abad menyertai Akademi Valencia pada usia 10 tahun dan kekal menjadi sebahagian daripada kelab hingga usianya mencecah 15 tahun sebelum dipinjamkan ke CD Alcoyano.

Selain banyak beraksi untuk JDT II pada musim ini, Abad juga mendapat kepercayaan Hector Bidoglio untuk tampil dalam empat aksi domestik bersama skuad senior Harimau Selatan sebagai persediaan musim baharu nanti.

Kehadirannya penjaga gol berketinggian 1.83 meter berkenaan boleh memberi saingan kepada penjaga gol tempatan, Ahmad Syihan Hazmi untuk tidak berasa selesa dengan posisinya sekarang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram