Bekas 'ubi muda' JDT kembangkan sayap ke Jerman, cetak hatrik di divisyen ke-7 Bundesliga


  • Podium
  • Selasa, 08 Apr 2025

Diniz Irwin pernah beraksi dalam akademi skuad Harimau Selatan sebelum berkelana ke Eropah. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

KEMODENAN dan kecanggihan fasiliti dimiliki Johor Darul Ta'zim (JDT) merupakan kunci di sebalik kejayaan pasukan itu di peringkat domestik serta Asia sejak ditubuhkan.

Malah, kemudahan serba lengkap tersebut turut dinikmati pasukan belia yang diberi peluang mengadakan sesi latihan menggunakan teknologi sedia ada dengan ia pasti memberi pengalaman berbeza buat mereka.

Jadi, tidak hairanlah apabila saban tahun, kelab Selatan tanah air itu dapat membentuk 'ubi muda' yang kemudiannya diserap ke dalam pasukan senior atau diberi peluang berkelana ke mana-mana pasukan pilihan.

BACA LAGI: [VIDEO] Enggan sokong LGBT, kelab Jerman terus pecat penyerang senior

BACA LAGI: [VIDEO] Beraksi di Liga Jerman, Liridon kini dapat sentuhan legenda AC Milan

Diniz sudah menghabiskan masa beberapa tahun di liga bawahan Jerman. Facebook/Irwan Adnan

Antara pemain berpeluang menerima kelebihan itu ialah Diniz Irwan yang kini beraksi dalam divisyen bawahan Jerman bersama TuRa Niederhochstadt sejak 2023.

Ini kerana sejak berada di Eropah, pemain berusia 24 tahun tersebut sudah mula menemui rentak terbaik, termasuk ketika membantu pasukannya meraih tiga mata penuh dalam perlawanan baru-baru ini.

"Diniz Irwan mencatatkan hatrik dalam kemenangan 6-3 dicatatkan TuRa Niederhochstadt ke atas SpVgg 1922 Eltville pada Ahad lalu. Dia juga diberi anugerah pemain terbaik perlawanan," tulis Harimau Abroad menerusi X.

Pencapaian peribadi yang dicatatkan itu sekali gus membuktikan graduan JDT memiliki bakat tersendiri, namun hanya pemain terbaik akan diserap ke dalam pasukan utama seperti Arif Aiman Hanapi.

Hatrik dicatatkan Diniz bersama kelab Jerman itu menyaksikannya diberi anugerah pemain terbaik perlawanan. X/Harimau Abroad

Ini kerana graduan akademi seperti Hadi Fayyadh Abdul Radzak dan Stuart Wilkin tidak dapat membuktikan diri untuk beraksi dalam pasukan utama sehingga terpaksa meninggalkan kelab itu.

Sebelum diserap ke dalam sistem pembangunan JDT, Diniz terlebih dahulu menceburkan diri dalam dunia bola sepak ketika beraksi untuk Selangor dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

Dia yang memainkan peranan besar pada edisi 2012 kemudiannya disambar kelab Selatan tanah air itu sebelum turut berpeluang menyertai sesi latihan di Sepanyol bersama Valencia CF.

Berkat kesabaran dan usaha tidak putus tersebut menyaksikan Diniz ditawarkan kontrak pertama oleh Eddersheim FC pada 2023 sebelum disambar TuRa Niederhochstadt yang merupakan pasukannya ketika ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram