
MENJELANG perlawanan penting saingan Liga Super 2024 bertemu Sri Pahang FC, Kedah Darul Aman yang tiba di Stadium Temerloh, Pahang dilaporkan hanya membawa skuad terhad seramai 17 pemain.
Keadaan itu menunjukkan kekangan pasukan yang terpaksa mengharungi perlawanan dengan jumlah pemain yang amat terhad.
Berita kurang menggembirakan dari kem Sang Kenari itu dikongsi oleh pemerhati sukan tanah air, Fadhirul Shuhaimi di laman X pada Isnin.
BACA LAGI: Bukan 100 peratus produk AMD, Arif Aiman lahir hasil bimbingan JDT
"Kedah Darul Aman hadir ke Temerloh hanya dengan 17 pemain, enam pemain Bawah 23 tahun dan hanya membawa seorang penjaga gol iaitu Ifwat Akmal," tulisnya.
Situasi itu memberi gambaran jelas tentang kekangan yang dihadapi pasukan, terutamanya dengan kehadiran hanya seorang penjaga gol, Ifwat Akmal yang dilihat terpaksa memikul beban besar dalam perlawanan tersebut.
Lebih mencabar lagi, enam daripada pemain yang dibawa adalah berusia Bawah 23 tahun, yang pastinya belum mempunyai pengalaman penuh dalam menghadapi tekanan perlawanan yang sengit, apatah lagi dalam situasi yang kekurangan pemain berpengalaman.
Ketidakhadiran pemain utama mungkin memberi kesan kepada kekuatan pasukan, tetapi semangat dan keberanian mereka tetap harus dihargai dalam menghadapi ujian yang berat ini.
Perlawanan itu pastinya sangat penting bagi Sang Kenari untuk memperbaiki kedudukan mereka yang kini berada di tangga ke-11 carta liga.
Dengan skuad yang terhad, penyokong Hijau Kuning pastinya mengharapkan agar pasukan berusaha lebih keras untuk meraih keputusan positif, sambil mengatasi kekurangan itu dengan semangat juang yang tinggi.
Namun, beberapa penyokong berpendapat jumlah skuad yang terhad itu disebabkan oleh isu gaji yang melanda pasukan Utara tanah air ini.
"Gaji tak bayar mana mahunya nak main," kata @Nuaruxang.
"Memang isu gaji saja ini, sebab itu tiada yang nak turun main," kata @aamirrr_.
"Tak lain tak bukan, ini mesti berkaitan dengan gaji, manalah ada pemain nak main kalau tiada gaji," kata @yusufzan.
Bukan itu sahaja, nasib malang turut menimpa Sang Kenari apabila aksi persahabatan antara All Star Kedah dan All Star Malaysia yang dijadualkan pada 11 April di Alor Setar terpaksa ditangguhkan ke tarikh baharu.
Penangguhan itu disebabkan bintang jemputan bertaraf dunia dari Portugal, Ricardo Quaresma tidak dapat hadir akibat kecemasan dan masalah kesihatan ahli keluarganya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram