
TERDAPAT jurang besar dapat disaksikan antara skuad kebangsaan dengan Indonesia ketika ini kerana negara jiran itu sedang sibuk dalam usaha layak ke pentas Piala Dunia buat kali pertama.
Meskipun kedudukan kedua-dua pasukan tidaklah begitu jauh berbeza, peminat bola sepak tanah air pasti akan mengakui program diterapkan skuad Garuda sudah membuahkan hasil.
Malah, baru-baru ini, Indonesia sekali lagi membuktikan kejayaan tersendiri dalam sukan tersebut selepas berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia Bawah 17 Tahun (B-17) 2025.
BACA LAGI: Ura-ura tinggalkan Sabah timbul lagi, dengarnya Saddil sertai bekas coach Liga Super di Indonesia
BACA LAGI: 'Frust' berbulan tak terima gaji, staf Kedah sertai ‘flop’ JDT di Indonesia
Skuad kebangsaan Indonesia kini sedang dalam usaha melayakkan diri ke pentas Piala Dunia 2026. — Agensi
Pencapaian itu ditempa selepas mereka mara ke pentas suku akhir Piala Asia B-17 susulan kemenangan 4-1 ke atas Yaman, yang sekali gus melayakkan skuad bimbingan Nova Arianto tersebut ke pertandingan gilang-gemilang berkenaan.
Ini merupakan kali kedua pasukan muda Indonesia terbabit akan bersaing dalam Piala Dunia B-17 selepas kali terakhir berbuat demikian pada edisi lalu dengan status tuan rumah.
Kejayaan tersebut sudah tentu diraikan rata-rata peminat sekitar Asia Tenggara kerana Indonesia menjadi wakil tunggal dari rantau ini untuk menempa nama dalam pertandingan dwi-tahunan tersebut.
Bagaimanapun, di sebalik keraian itu, timbul pula persoalan mengenai kebolehan skuad Malaysia B-17 untuk berbuat demikian memandangkan setakat ini, setiap usaha dilakukan tidak pernah membuahkan hasil.
Kegagalan dialami tersebut pasti menceritakan kegagalan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memastikan pembangunan bola sepak negara berada dalam landasan terbaik.
Skuad muda negara masih belum pernah menempatkan diri dalam saingan Piala Dunia B-17. — Agensi
Hal itu kemudian menimbulkan rasa kurang senang daripada peminat yang terus mengajukan soalan dalam kalangan peminat tempatan dengan masing-masing mahu melihat hasil lebih baik pada tahun-tahun akan datang.
"Aku ucapkan tahniah kepada Indonesia kerana berjaya layak ke Piala Dunia B-17. Tak mustahil satu hari nanti, pasukan senior pula akan menyusul. Kepada penyokong tempatan, harap satu hari pun kita dapat menyusul.
"Walaupun hanya bermula dengan peringkat B-17 sahaja, itu sudah cukup untuk membanggakan mana-mana negara sekali pun," kata Fairoz Haji Abd Malek.
"Indonesia ketika ini sejajar dari segi pembangunan bola sepak sehingga ke skuad senior kerana pasukan utama menggunakan pelan jangka masa pendek manakala 'ubi muda' dibentuk dengan hasil mereka layak ke Piala Dunia P-17.
Pembangunan skuad B-17 negara masih jauh ketinggalan. — Facebook/FAM
"Sementara itu, kita pula sedang berebut pihak manakah yang patut urus skuad negara dan kelab-kelab dalam negara, ini juga menunjukkan kebanyakan kita masih mengalami pelbagai isu," kata Hafizuddin Ibrahim.
"Malaysia harus tiru cara pembangunan remaja Indonesia yang berjaya layak secara merit ke Piala Dunia B-17 yang merupakan satu pencapaian amat membanggakan. Kita terlalu sibuk dengan naturalisasi sampai terlupa akar umbi," kata Encik Nadir.
Pencapaian terbaik skuad B-17 negara adalah apabila mereka berjaya melangkah ke suku akhir Piala Asia pada 2014 sebelum kempen mereka pada edisi berikutnya tidak membuahkan hasil terbaik.
Bagaimanapun, rombakan dilakukan FAM terhadap skuad kebangsaan yang dibantu pula dengan kerjasama Tunku Ismail Sultan Ibrahim diharapkan dapat membawa sinar baharu buat pasukan muda negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram