
GARA-GARA menolak untuk menyokong komuniti LGBTQ+, bekas penyerang skuad nasional Jerman, Kevin Behrens ditamatkan kontraknya dengan serta merta oleh VfL Wolfsburg.
Pada September 2024, penyerang Wolfsburg itu terlibat dalam kontroversi apabila dia enggan menandatangani jersi bertemakan pelangi yang melambangkan sokongan terhadap komuniti LGBTQ+.
Semasa sesi autograf, Behrens didakwa berkata, "Saya tidak akan menandatangani benda gay seperti itu."
BACA LAGI: Dah lupa episod 2018, Ramon Marcote terbuka kembali ke Kedah musim depan
Susulan insiden tersebut, Wolfsburg mengambil tindakan disiplin terhadap Behrens, menegaskan komitmen kelab terhadap nilai-nilai kepelbagaian dan toleransi.
Behrens kemudian mengeluarkan kenyataan memohon maaf, mengakui bahawa komennya tidak wajar dan menyatakan bahawa isu tersebut telah dibincangkan secara dalaman.
Kelab menyatakan bahawa mereka dan kakitangannya berdiri teguh menyokong kepelbagaian dan keterbukaan, dengan nilai-nilai asas seperti hormat, kejujuran, serta keterbukaan sentiasa menjadi sebahagian daripada falsafah kelab.
Meskipun perkara itu berlaku pada tahun lalu, menerusi khabar angin di media sosial baru-baru ini, Wolfsburg telah pun menamatkan kontrak Behrens dengan serta merta.
Namun sehingga kini masih belum disahkan secara rasmi oleh Wolfsburg bahawa Behrens telah ditamatkan kontraknya kerana enggan menandatangani jersi bertemakan pelangi, simbol sokongan terhadap komuniti LGBTQ+.
Menerusi data laman Transfermarkt, kontraknya bersama Wolfsburg masih berkuat kuasa dan akan tamat pada 30 Jun 2025.
Untuk rekod Behrens menyertai Wolfsburg pada pertengahan musim 2023/24 selepas meninggalkan Union Berlin.
Kehadirannya diharap dapat memperkukuh jentera serangan Wolfsburg, terutama dengan reputasinya sebagai penyerang berpengalaman yang memiliki kekuatan fizikal serta kemampuan di udara.
Sepanjang tempohnya bersama Wolfsburg, Behrens telah membuat 29 penampilan dalam semua kejohanan, termasuk Bundesliga dan saingan DFB-Pokal.
Dalam saingan Bundesliga musim 2023/24, dia diturunkan sebanyak 13 kali dan berjaya menjaringkan satu gol.
Manakala untuk musim 2024/25, Behrens telah tampil dalam 15 perlawanan liga setakat ini dan turut mencatat satu gol, selain satu lagi penampilan dalam saingan Piala Jerman tanpa jaringan.
Walaupun jumlah jaringan golnya agak sederhana berbanding musim-musim terdahulu, Behrens tetap dilihat sebagai pemain yang menyumbang dari segi pengalaman dan kerja keras di atas padang.
Ketika ini, status Behrens bersama Wolfsburg menjadi tanda tanya, berikutan kontroversi yang masih belum reda sepenuhnya.
Namun dari sudut rekod, dia tetap meninggalkan jejak sebagai salah seorang penyerang yang pernah menggalas cabaran bersama skuad Die Wolfe. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram