Sebelum Hidalgo, Ubaidullah dan Luciano mangsa layangan kad merah tak munasabah Liga M musim ini


  • Podium
  • Selasa, 21 Jan 2025

Hidalgo perlu melupakan aksi separuh akhir kedua di Temerloh pada 2 Februari susulan layangan kad merah di Likas. — Facebook/SabahFC

KEPUTUSAN seri 1-1 antara Sabah FC menentang Sri Pahang FC dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu lalu tidak menggembirakan penyokong skuad Tok Gajah.

Selain hanya membawa bekalan satu gol ke laman sendiri pada aksi kedua nanti, penyokong juga menyuarakan pandangan terhadap layangan kad merah penyerang sayap Tok Gajah, Manuel Hidalgo pada minit ke-70 selepas semakan video bantuan pengadil (VAR).

Pemain pinjaman Johor Darul Ta'zim (JDT) itu dibuang padang kerana pegawai VAR, Razlan Joffri Ali mengesan tindakannya memijak kaki bek tengah Sang Badak, Dominic Tan semasa cuba mendapatkan bola.

BACA LAGI: Pak cik OKU rupanya bekas penuntut UPM, pernah wakili SUKMA harumkan nama Terengganu

BACA LAGI: [VIDEO] Enggan ulas kad merah Hidalgo, Fandi mahu Tok Gajah manfaat peluang di Temerloh

Penyokong Tok Gajah menyifatkan ia adalah satu keputusan bias memihak kepada pasukan tuan rumah dilakukan oleh pengadil, Zamzaidi Katimin. Ia semakin menaikkan kemarahan pengikut Sri Pahang selepas Hidalgo perlu menjalani penggantungan dua perlawanan.

Hal ini bermaksud. pemain berusia 25 tahun itu bukan sahaja perlu melupakan aksi separuh akhir kedua di Temerloh pada 2 Februari tetapi melupakan aksi final seandainya Sri Pahang berjaya mara ke pusingan akhir Piala Malaysia.

Namun, layangan kad merah tanpa sebab munasabah itu bukan hanya berlaku kepada Hidalgo apabila terdapat juga dua pemain lain yang menerima nasib sama hingga menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong domestik;

1) Ubaidullah vs JDT

@abusayf903 Full video semasa VAR kad merah untuk Ubaidullah.. pengadil Fitri Maskon memberikan direct red card.. #jdtvsterengganu #mfl #jdt #terengganu #VAR #ubaidullah ♬ original sound -

Bek muda Terengganu FC (TFC), Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili pernah menjadi mangsa layang kad merah tidak wajar ketika aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 27 Julai lepas.

Ubaidullah didakwa menolak penyerang JDT, Bergson Da Silva pada minit ke-27 yang menyaksikan Harimau Selatan diberikan sepakan penalti hingga membantu pasukan tuan rumah menang 0-4.

Namun, apa yang dipertikai beberapa pihak adalah apabila pengadil, Fitri Maskon melayangkan kad merah kepada Ubaidullah selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) susulan daripada insiden terbabit.

Hal ini kerana, berdasarkan video perlawanan membuatkan penyokong berpendapat bahawa insiden membabitkan Ubaidullah dan Bergson adalah cabaran atau sentuhan biasa dalam bola sepak dan tidak seharusnya diberikan penalti.

Kesalahan itu menyebabkan Ubaidullah digantung satu perlawanan, yang menyaksikan pemain berusia 21 tahun berkenaan tidak beraksi pada aksi menentang Negeri Sembilan FC (NSFC).

2) Luciano vs JDT

Ketua pasukan Perak FC, Luciano Guaycochea turut menjadi mangsa keputusan berat sebelah pengadil perlawanan ketika aksi menang 3-1 ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada 26 Julai 2024.

Momen Luciano dibuang padang selepas dikesan melengahkan masa perlawanan pada minit-minit akhir saingan, yang sebelumnya dia menerima kad kuning pertama selepas membuat terjahan keras ke atas Oday Kharoub minit ke 27.

Layangan kad kuning kedua itu menjadi persoalan penyokong susulan rata-rata melihat pemain dari Argentina berkenaan tidak melengahkan masa ketika mahu memberi bola dari tepi padang.

Meskipun ketika itu, Yusri Che Lah selaku pengendali melihatnya sebagai iktibar namun Luciano terlepas aksi menentang Kuching City FC di Stadium Perak, yang menyaksikan The Bos Gaurus tewas 1-2. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram