Pelik tapi benar, Sri Pahang-TFC-Kuching City selalu 'gigit jari', dianggap pakar seri dalam Liga Super musim ini


  • Podium
  • Jumaat, 04 Apr 2025

Kuching City (kiri) dan Terengganu (kanan) antara pakar seri dalam Liga Super musim ini.

ADAT bermain bola sepak, pasti ada yang menang, kalah serta seri apabila dua pasukan bertemu.

Dalam pertandingan liga, setiap pasukan yang seri akan meraih satu mata. Walaupun ia dilihat tidak begitu teruk jika dibandingkan dengan kalah (sifar mata), jika terlalu banyak keputusan seri, ia pasti menganggu momentum sesebuah pasukan mendaki carta liga.

Saingan Liga Super musim ini melihat beberapa kelab yang mencatatkan terlalu banyak keputusan seri sehingga menganggu usaha mereka mengejar kedudukan terbaik.

BACA LAGI: SPL lubuk import Jepun berkualiti buat kelab Liga Super jimat bajet musim depan

BACA LAGI: Brazil, Nigeria masih jadi negara pilihan kelab Liga Super ambil pemain import

Sri Pahang kekal berseri

Jika perlu memilih satu kelab yang begitu kecewa kerana meraih keputusan seri terlalu banyak musim ini, Sri Pahang FC adalah jawapannya.

Musim ini, skuad kendalian Fandi Ahmad merakamkan lapan seri daripada 21 perlawanan dengan itu membuatkan mereka menduduki tempat kesepuluh liga. Sebagai rekod, Tok Gajah adalah kelab kedua tertinggi meraih keputusan seri.

Keputusan seri yang banyak membuatkan Sri Pahang terkandas di zon bawahan Liga Super.

Fandi musim ini secara terbuka sering mengkritik para pemainnya selepas perlawanan terutamanya apabila skuad Tok Gajah tewas dan seri walaupun berpeluang untuk menang.

Jika keputusan-keputusan seri itu berjaya ditukarkan menjadi tiga mata, pastinya Sri Pahang berada pada kedudukan lebih baik.

The Cats sepatutnya mampu mencakar lebih tajam

Musim ini, kelab Sarawak, Kuching City FC menghasilkan kejutan dengan persembahan baik mereka berjaya mendapatkan pelbagai keputusan baik menentang beberapa kelab.

Ia menjadikan skuad kendalian Aidil Sharin itu cukup berbahaya dan tidak boleh dipandang rendah tidak kira ketika beraksi di laman sendiri atau tempat lawan.

Kuching City merupakan 'dark horse' Liga Super musim ini.

Namun begitu, kelemahan Kuching City terletak pada sembilan keputusan seri diraih mereka yang merupakan terbanyak dalam Liga Super.

Jika ia boleh ditukarkan menjadi kemenangan, Kuching City yang menduduki tempat ketiga pasti boleh mengejar Selangor FC di kedudukan kedua sekali gus bermimpi untuk ke Asia.

Kemajuan Terengganu tersekat

Satu lagi kelab yang berdepan masalah mengalami terlalu banyak keputusan seri adalah Terengganu FC.

Kelab Pantai Timur itu sama seperti Sri Pahang, meraih lapan keputusan seri sekali gus membuatkan mereka berkongsi status sebagai kelab kedua paling banyak seri dalam liga.

Keputusan seri yang banyak menyekat Terengganu untuk ke Asia.

Musim ini melihat Terengganu mempunyai ramai pemain berkualiti ditunjangi oleh Akhyar Rashid dan Safawi Rasid. Oleh itu, mereka dijangka akan mencabar hebat kedudukan teratas liga.

Namun begitu, dengan keputusan seri yang banyak. Ia membuatkan langkah Terengganu untuk mencabar slot ke Asia terbantut dan mereka sekadar kelab pertengahan liga musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram