Ujian berat Ali XPDC, isteri, terlantar sakit di hospital menjelang Aidilfitri


  • Hiburan
  • Jumaat, 28 Mac 2025

Ali XPDC kini ditempatkan di Hospital Cyberjaya.

MASA getir buat penyanyi rock, Ali XPDC dan isterinya, Sharifah Azuwanna Syed Joned sedang diuji apabila kedua-duanya jatuh sakit.

Menerusi perkongsian penyampai radio, Ismahalil Hamzah, Ali yang mengalami semput kini berada di Hospital Cyberjaya sementara Sharifah Azuwanna pula mengalami kanser dan ditempatkan dekat Hospital Putrajaya.

Ujian tersebut nyata berat buat keluarga Ali kerana semasa dia sakit, Sharifah Azuwanna bertindak menjaganya dan menyara keluarga menerusi perniagaan kecil-kecilan. 

BACA LAGI: Aidilfitri yang dinanti Ali XPDC tapi impian belum jadi kenyataan

BACA LAGI: Vokalis silih ganti, 5 kumpulan rock ini tetap padu sampai sekarang

"ALLAH maha baik, hidayah milik ALLAH. Reda kepada siapa ALLAH berikan, semoga Ali XPDC sihat. Video ini buat kita yang sihat jadi segan, terima kasih Ali," kata Ismahalil yang berkongsi video Ali sedang solat walaupun sedang terlantar sakit.

Dalam pada itu, seorang lagi rakan dikenali sebagai Ustaz Taufik berkongsikan situasi keluarga Ali yang semakin sukar selepas isterinya diuji dengan penyakit kanser.

Memetik laporan Harian Metro, Taufik berkata anak-anak mereka masih memerlukan Ali dan isterinya di sisi mereka.

"Abang Ali XPDC dan isterinya sedang saki. Anak-anak masih perlukan mereka.

"Sebelum ini, isteri Abang Ali yang menjaga beliau ketika sakit. Dialah juga yang berniaga kecil-kecilan untuk membantu menyara keluarga.

"Namun, kini ujian bertambah berat, isteri Abang Ali pula diuji dengan kanser. Dua insan ini sedang sakit, sedangkan anak-anak mereka masih ramai yang belajar," kata Taufik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram