
PEMINAT sukan bola sepak tanah air tatkala disebut mengenai pasukan di bahagian Utara pastinya hanya dua nama kelab yang terpampang di fikiran kita.
Tidak lain ialah Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Penang FC yang mana hanya dua pasukan mewakili bahagian Utara tanah air bagi saingan tertinggi kancah bola sepak tempatan.
Sebelum ini, bukan sahaja Kedah dan Penang, malah di bahagian Utara mempunyai lebih daripada lima kelab yang bertanding dalam saingan Liga Malaysia antaranya Langkawi City FC, Kuala Muda Naza FC dan PBAPP FC.
BACA LAGI: Soalan 'bila nak kahwin', sekadar gurauan atau tekanan? Ini reaksi spontan orang ramai
BACA LAGI: [VIDEO] Kelab Liga Super 'terliur' lihat kehadiran naturalisasi baharu Vietnam
Namun kita pastinya terlupa suatu masa dahulu apabila disebut tentang Utara pastinya teringat akan kehebatan Singa Utara yang pernah menjadi pencabar Liga Malaysia pada awal abad ke-21.
Singa Utara menjadi kebangaan setiap rakyat Perlis ketika itu yang sudah menjulang Liga Super (2005) Piala Malaysia (2004), juara Piala Sumbangsih (2005, 2006) dan naib juara Liga Perdana Malaysia (1998).
Selepas era kegemilangan mereka pada awal 2000-an, Perlis mengalami kemerosotan akibat masalah kewangan dan pengurusan.
Akibatnya, pasukan ini menghadapi kesukaran untuk bersaing dalam liga utama dan disingkirkan daripada Liga Malaysia pada 2019 kerana isu kewangan yang kritikal.
Kali terakhir Perlis bertanding secara rasmi ialah pada musim 2019 dalam Liga Perdana sebelum mereka digantung daripada sebarang pertandingan akibat masalah dalaman.
Pada tahun-tahun berikutnya, usaha telah dibuat untuk menghidupkan kembali pasukan itu, tetapi masih belum ada perkembangan yang signifikan.
Namun adakah anda tahu, ketika tempoh isu kewangan yang kritikal melanda kem Perlis, ada pemain import rela untuk mengangkat nama Singa Utara di persada bola sepak Malaysia.
Majoriti senaraikan empat bintang pernah sarung jersi Perlis di kala pasukan itu mengalami masalah kewangan:
1. Mohamadou Sumareh
Mohamadou Sumareh, pemain bola sepak kelahiran Gambia yang kemudian menjadi warganegara Malaysia menyertai Perlis pada Disember 2015 selepas kontraknya bersama PDRM FC tamat.
Sepanjang musim 2016 dalam Liga Perdana, Sumareh membuat 22 penampilan liga dan menjaringkan lima gol.
Sumbangan Sumareh membantu Perlis mencapai kedudukan keenam dalam liga pada musim tersebut.
Walaupun tiada trofi utama dimenangi semasa bersama Perlis, prestasi cemerlangnya menarik perhatian pasukan lain.
Akhirnya, pada Disember 2016, Sumareh menyertai Pahang FA (kini dikenali sebagai Sri Pahang FC), yang mana dia terus mengembangkan kerjayanya dalam Liga Super sehingga hari ini.
2. Brandon Adams
Brandon Adams, penyerang kelahiran England, menyertai Perlis pada November 2016 melalui pinjaman dari Queens Park Rangers (QPR).
Sepanjang musim 2017 dalam Liga Perdana, Adams menjaringkan enam gol, menjadikannya penjaring terbanyak ke-21 dalam divisyen kedua bola sepak Malaysia.
Salah satu sumbangan pentingnya adalah membantu Perlis mara ke pusingan seterusnya dalam Piala FA 2017 dengan menjaringkan gol dalam dua perlawanan berturut-turut.
Selepas tamat tempoh pinjaman bersama Perlis, Adams kembali ke Eropah dan meneruskan kerjayanya dengan beberapa kelab, termasuk Linfield di Ireland Utara dan beberapa kelab semi-pro di England.
Damion (tengah) bermain bersama Perlis pada 2016 sehingga 2017 yang mana ketika itu Singa Utara di Liga Perdana.
3. Damion Stewart
Damion Delano Stewart, bekas pemain pertahanan antarabangsa Jamaica, menyertai Perlis pada Julai 2016 untuk beraksi dalam Liga Perdana.
Sebelum itu, dia pernah bermain untuk Harbour View FC di Jamaica dan beberapa kelab di England, termasuk Queens Park Rangers dan Bristol City.
Di Malaysia, Stewart mencapai kejayaan bersama Pahang FA (kini Sri Pahang FC) antara 2013 hingga 2015, memenangi Piala Malaysia pada 2013 dan 2014, Piala FA pada 2014, dan Piala Sumbangsih pada 2014.
Selepas meninggalkan Pahang pada akhir 2015, Stewart kembali ke Jamaica dan bermain semula untuk Harbour View FC.
Beliau kemudian kembali ke Malaysia untuk menyertai Perlis FA pada pertengahan 2016, di bawah kendalian jurulatih Datuk Dollah Salleh, yang pernah melatihnya di Pahang.
Stewart membuat penampilan sulung bersama Perlis dalam kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan pada Julai 2016.
Selepas musim 2016, beliau tidak lagi dikaitkan dengan mana-mana kelab sehingga pengumuman persaraannya pada Julai 2017.
4. Obinna Nwaneri
Obinna Nwaneri, bekas pemain pertahanan antarabangsa Nigeria, menyertai Perlis pada 2016 selepas beraksi bersama ATM FA.
Sebelum itu, Nwaneri telah mencipta nama bersama Kelantan FA dari 2012 hingga 2014, yang mana dia membantu pasukan tersebut meraih kejayaan treble pada 2012, termasuk menjuarai Liga Super Malaysia, Piala FA Malaysia, dan Piala Malaysia.
Nwaneri beraksi dalam Liga Perdana bersama Perlis pada musim 2016 dan selepas tempoh bersama Perlis, dia telah bersara daripada bola sepak profesional selepas tamat kontrak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram