
HARIMAU Malaya bakal menerima tentangan hebat daripada Vietnam selepas skuad Naga Emas dalam proses untuk menaturalisasikan dua pemain import baharu menjelang perlawanan bertemu Malaysia pada 10 Jun nanti.
Kehadiran Rafaelson Fernandes berjaya memberikan impak positif kepada skuad kebangsaan Vietnam yang menyaksikan mereka menjuarai Piala AFF 2024 untuk menewaskan Thailand 5-3 secara agregat.
Rafaelson juga dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan tujuh gol sebelum ditimpa kecederaan patah kaki ketika bertemu Thailand dalam perlawanan akhir.
BACA LAGI: Piala MFL dimansuhkan, peluang MFL rombak bola sepak belia Malaysia — Ramon Marcote
Impak positif yang dibawa Rafaelson ke dalam skuad Vietnam telah membuatkan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF) teruja untuk menaturalisasikan lebih ramai bintang import yang beraksi di V.League 1.
Ia pastinya memberikan cabaran besar buat Peter Cklamovski untuk menganalisis skuad baharu Vietnam di bawah kendalian Kim Sang-sik.
Namun di sudut positif pula, pemain naturalisasi baharu Vietnam itu memberikan ruang buat kelab-kelab Liga Super mendapatkan import Asean yang lebih berkualiti.
Majoriti senaraikan tiga pemain baharu naturalisasi Vietnam wajar menerima perhatian kelab-kelab Liga Super musim depan:
1. Hendrio Araujo
Hendrio Araujo merupakan bintang utama untuk Thep Xanh Nam Dinh FC dan telah beraksi di V.League 1 sejak 2021.
Karier bola sepak Hendrio bermula awal apabila menyertai akademi FC Barcelona pada 2006 ketika berusia 12 tahun.
Bekas graduan akademi FC Barcelona itu menghabiskan empat tahun di La Masia sebelum berpindah ke akademi Real Betis pada 2010.
Pengembaraan profesionalnya membawanya ke beberapa kelab di pelbagai negara, termasuk FC Sioni Bolnisi di Georgia, Varzim B dan Pacos de Ferreira di Portugal, serta beberapa kelab di Sepanyol seperti Don Benito dan Calvo Sotelo.
Pada 2021, Hendrio memulakan kariernya di Vietnam dengan menyertai Quy Nhon Binh Dinh FC, yang mana dia melakukan 35 penampilan dan menjaringkan sembilan gol sehingga 2022.
Pada 1 Januari 2023, Hendrio menyertai Thep Xanh Nam Dinh FC dengan kontrak sehingga 30 Jun 2025 yang mana dia memainkan peranan penting dalam kejayaan kelab tersebut, membantu mereka menjuarai V.League 1 musim 2023/24 dan memenangi Piala Super Vietnam.
Musim ini, Hendrio telah melakukan lapan penampilan dalam V.League 1, menjaringkan tiga gol dan tiga 'assist'.
Dengan pengalaman luas di pelbagai liga dan kelab, serta kejayaan terkini bersama Thep Xanh Nam Dinh FC, Hendrio antara bakat yang wajar diperhatikan kelab Liga Super musim depan.
2. Rimario Gordon
Rimario Allando Gordon, merupakan pemain bola sepak profesional dari Jamaica yang beraksi sebagai penyerang tengah untuk Dong A Thanh Hoa FC.
Rimario memulakan karier bola sepaknya di Amerika Syarikat, mewakili pasukan sekolah tinggi Alief Elsik High School Boys Soccer Team dari 2008 hingga 2012.
Pada 2018, Rimario memulakan karier profesionalnya di Vietnam dengan menyertai Hoang Anh Gia Lai.
Selepas 13 penampilan tanpa jaringan gol, dia berpindah ke Thanh Hoa FC dengan Rimario menunjukkan peningkatan prestasi apabila menjaringkan 16 gol dalam 28 penampilan sepanjang musim 2018 hingga 2019.
Pada 2020, Rimario menyertai Hanoi FC dan menjaringkan 12 gol dalam 17 penampilan.
Pemain berusia 31 tahun itu kemudiannya beraksi untuk Binh Dinh FC pada 2021, diikuti oleh Haiphong FC yang mana dia muncul sebagai penjaring terbanyak V.League 1 dengan 17 gol.
Rimario telah meraih gelaran penjaring terbanyak V.League 1 sebanyak dua kali, iaitu pada musim 2019/20 dengan 12 gol dan musim 2021/22 dengan 17 gol.
Dengan pengalaman luas dan rekod cemerlang di V.League 1, Rimario boleh menjadi aset penting bagi kelab-kelab Liga Super selepas menunjukkan ketajaman dan konsistensi sebagai penyerang prolifik yang mampu mencipta impak besar dalam setiap perlawanan.
3. Jason Pendant
Jason Quang-Vinh Pendant, merupakan bek kiri utama untuk Cong An Ha Noi FC yang dilahirkan dari bapa berketurunan Martinik dan ibu berketurunan Vietnam, menjadikannya layak untuk mewakili kedua-dua negara tersebut.
Pendant memulakan karier bola sepaknya di akademi FC Sochaux-Montbeliard pada 2011 dan dinaikkan ke pasukan utama Sochaux pada 2016, membuat 69 penampilan dalam Ligue 2 sehingga 2020.
Pada Mac 2020, Pendant berpindah ke New York Red Bulls di Major League Soccer (MLS), yang mana dia beraksi sehingga 2022 dengan 27 penampilan.
Selepas itu, dia kembali ke Perancis untuk menyertai Quevilly-Rouen, membuat 65 penampilan dan menyertai Cong An Ha Noi FC di Vietnam pada 2024
Untuk rekod, Pendant pernah mewakili skuad bawah 16 tahun dan bawah 18 tahun Perancis.
Pada 2019 di menyatakan minat untuk mewakili pasukan kebangsaan Vietnam selepas dihubungi VFF dan memperoleh kewarganegaraan Vietnam pada 19 Mac lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram