Setahun merayu gaji tertunggak, legenda Harimau Malaya terpaksa pinjam wang berlesen demi sara keluarga, elak rumah dilelong


  • Podium
  • Jumaat, 28 Mac 2025

Khalid (hujung kiri atas) antara pemain utama Harimau Malaya pada 2002 sehingga 2004.

TINGGAL beberapa hari lagi seluruh umat Islam di dunia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri selepas hampir sebulan melakukan ibadah puasa.

Kehadiran bulan Syawal pastinya memberikan kegembiraan buat seluruh umat Islam untuk menyambut dan berkumpul bersama keluarga dan rakan-rakan selepas lama tidak bersua.

Namun begitu, tidak semua mampu merasai kegembiraan itu selepas terpaksa 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' demi meneruskan kelangsungan hidup.

BACA LAGI: Piala MFL dimansuhkan, peluang MFL rombak bola sepak belia Malaysia — Ramon Marcote

BACA LAGI: Taktikal Peter Cklamovski lawan Vietnam penentu skuad Harimau Malaya rombak atau kekal — Reduan Abdullah

Di Malaysia, pemain bola sepak antara insan yang terpaksa bertahan dan mencari wang lebih demi meneruskan kehidupan selepas majikan tidak hirau akan nasib mereka apabila enggan membayar gaji kepada mereka.

Antara individu yang menjadi mangsa isu masalah tunggakan gaji ialah, legenda bola sepak Malaysia, Muhamad Khalid Jamlus yang terpaksa mendapatkan pinjaman wang berlesen untuk membayar tanggungan hidupnya termasuk membayar duit rumah bagi mengelakkan rumahnya dilelong.

Khalid turut merayu kepada majikannya untuk melunaskan tunggakan gaji yang tidak diterimanya sejak setahun lalu meskipun setia berkhidmat bersama kelab sehingga tamat liga.

"Sekarang ini saya tak buat apa-apa dah, saya hanya menunggu majikan yang sebelum ini dapat bayar gaji saya untuk menyambut Aidilfitri ini.

"Sebab sekarang bulan puasa akademi pun dah tutup, kalau tidak saya ada sedikit (wang), sekarang dah tutup tak boleh nak buat apa-apa.

"Saya tidak mahu menyinggung perasaan mana-mana pihak, sebab kita sanggup (bermain tanpa gaji) bermaksud kita memberikan kerjasama dan membantu dia (majikan).

"Cuma saya mengharapkan balas balik dengan apa yang kita lakukan, kami ibarat mati kerana bola jadi saya harap mereka dapat selesaikan masalah ini.

"Kalau boleh sebelum raya, bukan sahaja saya tetapi 40 orang lain tidak menerima gaji selama setahun," katanya kepada Majoriti.

Tambah Khalid, dia terpaksa mengambil pinjaman berlesen selepas majikan tidak mampu melunaskan tunggakan gaji untuk membayar tanggungan hidupnya.

Bekas penyerang kebangsaan itu, juga sudah melakukan sehabis baik demi menyelesaikan segala tunggakan yang dihadapinya.

"Majikan tak boleh nak bayar, saya dah berkongsi masalah saya mereka ada bantu tapi setakat mana yang mereka mampu.

"Tapi apabila sampai pihak bank mereka ada syarat-syarat dan mereka tidak boleh nak bantu saya.

"Jadi sekarang saya tiada kawan, bila dah sampai waktu usia macam ini mereka ibarat semut yang habis gula, semua dah lari.

"Jadi saya terpaksa bertahan sendiri, jadi saya terpaksa pinjam kepada pinjaman berlesen sementara ini, sebab saya pun tengah tunggu gaji saya.

"Lagi-lagi nak raya ini, apa pun tak ada. Ini pun pakai baju raya yang dua tahun lepas, jika ada pihak yang datang untuk membantu cuma Allah yang dapat balas segala kebaikan mereka," jelasnya.

Sebelum ini Khalid turut menghadapi cabaran kewangan yang serius selepas bersara daripada bola sepak profesional.

Dia pernah mendedahkan bahawa dirinya menganggur selama tiga tahun tanpa sebarang pendapatan tetap.

Situasi itu memaksanya untuk menjual barangan peribadi yang mempunyai nilai sentimental tinggi, termasuk Kasut Emas yang dimenanginya pada 2002 yang dilelong pada harga RM10,500 melalui siaran langsung di Facebook. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram