
SELEPAS kemenangan Malaysia ke atas Nepal 2-0 pada Selasa, timbul persoalan skuad sedia ada perlu dikekalkan atau pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski masih boleh bereksperimen dengan pemain-pemain yang digugurkan sebelum perlawanan tersebut.
Cklamovski pastinya menghadapi cabaran besar dalam menentukan pemain yang sesuai bagi menghadapi Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun nanti.
Menurut bekas pemain kebangsaan, Reduan Abdullah, pemilihan pemain haruslah berdasarkan keperluan pasukan serta keupayaan individu pemain untuk mengisi kelemahan yang ada.
BACA LAGI: [VIDEO] Bukan biasa-biasa, JDT pernah dicabar hebat 3 bintang dunia termasuk Iniesta
BACA LAGI: Thomas Tuchel kritik Arsenal terlebih 'perah' khidmat pemain utama
"Dengan adanya kumpulan pemain yang besar, rotasi pemain menjadi lebih fleksibel sekiranya berlaku kecederaan atau perubahan taktikal," katanya kepada Majoriti.
Antara tujuh pemain yang digugurkan, termasuk Mohamadou Sumareh, Gabriel Palmero dan pemain muda meningkat naik, Haqimi Azim yang menunjukkan prestasi baik bersama Kuala Lumpur City FC (KL City) musim ini.
Namun, jurulatih mungkin melihat bahawa corak permainan Haqimi tidak sesuai dengan sistem yang diterapkan pada masa ini.
Salah satu aspek yang ditekankan oleh Reduan adalah kepentingan data dalam pemilihan pemain.
"Data mengenai minit permainan, posisi, kecergasan dan kelajuan larian adalah faktor utama yang perlu dipertimbangkan.
"Tanpa data yang lengkap, adalah sukar untuk menilai sama ada seseorang pemain benar-benar bersedia untuk menyertai pasukan utama.
"Selain itu, prestasi individu dan keserasian antara pemain juga memainkan peranan penting.
"Dalam perlawanan menentang Nepal, keserasian masih belum berada di tahap terbaik, tetapi kemenangan tetap berpihak kepada Malaysia.
"Nepal bermain dengan taktikal bertahan yang kemas, menyebabkan pasukan Malaysia sukar untuk menembusi pertahanan lawan.
"Namun, kelemahan dalam penyudah serangan masih menjadi isu utama yang perlu diperbaiki sebelum menghadapi Vietnam," jelasnya.
Bertemu Vietnam bukanlah tugas mudah apabila mereka masih dianggap sebagai pasukan terkuat di rantau Asia Tenggara dan persiapan rapi diperlukan.
Reduan turut menekankan keperluan untuk mengadakan lebih banyak perlawanan persahabatan berkualiti bagi menguji kelemahan dan menyesuaikan taktikal pasukan sebelum aksi penting itu.
"Bagi barisan serangan, kelemahan utama Malaysia adalah penyudah yang tidak efektif.
"Dalam perlawanan menentang Nepal, gol diperoleh bukan daripada penyerang tulen, tetapi melalui pemain tengah sekali gus menunjukkan bahawa taktikal serangan masih perlu diperkemaskan.
"Kemungkinan kemasukan pemain seperti Bergson da Silva mungkin akan membawa impak positif kepada skuad kebangsaan," ujarnya.
Persoalan utama masih kekal: adakah Malaysia perlu mengekalkan skuad yang menang ke atas Nepal atau membawa masuk kembali pemain digugurkan?
Tambah Reduan, ia bergantung kepada taktikal yang ingin diterapkan oleh jurulatih.
"Jika jurulatih melihat pemain sedia ada mampu menyesuaikan diri dengan strategi pasukan, maka skuad ini wajar dikekalkan.
"Namun, sekiranya terdapat keperluan untuk menambah baik kualiti pasukan, pemain yang digugurkan boleh dipertimbangkan semula.
"Apa yang pasti, Malaysia perlu bersedia sepenuhnya untuk menentang Vietnam. Setiap keputusan pemilihan pemain haruslah dibuat dengan teliti bagi memastikan pasukan berada di tahap terbaik untuk mendapatkan kemenangan yang amat diperlukan," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram