Tak semua mampu beraksi, 4 bintang HM mungkin hanya jadi penonton menentang Nepal


  • Podium
  • Ahad, 23 Mac 2025

Sebahagian sesi latihan skuad Harimau Malaya menjelang perlawanan mendebarkan bertemu Nepal pada Selasa nanti. — Facebook/MalaysiaNT

PEMILIHAN pemain yang akan digugurkan daripada skuad 23 pemain menjelang aksi pusingan ketiga Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor Selasa ini, masih belum diputuskan oleh pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski.

Menurutnya, keputusan itu bergantung kepada prestasi pemain serta sumbangan mereka dalam membentuk pasukan mengikut acuan yang ditetapkan.

Pengendali kelahiran Australia itu turut menegaskan bahawa hanya pemain yang benar-benar layak akan dipilih bagi menterjemahkan strategi yang dirancang dalam perlawanan menentang Nepal.

Namun, Cklamovski menegaskan bahawa pemain yang digugurkan tidak akan dihantar pulang, sebaliknya akan terus bersama pasukan.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan seramai 27 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan untuk ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya.

Sehubungan itu, Majoriti menyenaraikan empat pemain yang dijangka hanya akan menjadi penonton menjelang aksi tersebut.

1. Natxo Insa

Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa berkemungkinan menjadi antara pemain yang sekadar menjadi penonton menjelang aksi menentang Nepal atas beberapa faktor utama.

Selain sedang menjalani program pemulihan individu selepas melalui jadual padat bersama JDT, faktor umur dan tahap kecergasan turut boleh menjadi punca keputusan tersebut.

Natxo Insa (kiri) dilaporkan menjalani program pemulihan individu selepas melalui jadual padat bersama JDT. — Facebook/MalaysiaNT

Sebagai pemain berusia 39 tahun, keupayaan fizikalnya mungkin tidak berada pada tahap optimum untuk menghadapi perlawanan kompetitif dalam tempoh yang singkat.

Pemulihan yang mencukupi amat penting bagi mengelakkan risiko kecederaan, terutama bagi pemain yang sudah berusia.

Selain itu, dengan corak permainan intensif yang diterapkan oleh Peter Cklamovski, pasukan mungkin lebih cenderung memberikan peluang kepada pemain yang memiliki kecergasan lebih baik dan mampu memenuhi tuntutan taktikal yang diinginkan.

2. Mohamadou Sumareh

Mohamadou Sumareh juga antara pemain yang berpotensi menjadi penonton.

Selain berdepan persaingan sengit di bahagian serangan dengan kehadiran pemain berkualiti seperti Arif Aiman, Akhyar Rashid dan Faisal Halim, Sumareh turut berdepan isu kekurangan minit permainan.

Sumareh (tengah) turut berdepan isu kekurangan minit permainan. —Facebook/MalaysiaNT

Setakat ini, penyerang naturalisasi itu hanya beraksi dalam 10 perlawanan bersama skuad Harimau Selatan yang mungkin menjejaskan tahap kecergasan serta keserasian dengan pasukan kebangsaan.

Dalam sistem permainan yang menekankan kecepatan, kreativiti dan ketajaman di bahagian serangan, keutamaan diberikan kepada pemain yang lebih konsisten beraksi.

Oleh itu, situasi ini menyukarkan Sumareh untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama, sekali gus berkemungkinan besar sekadar menjadi pemerhati dalam perlawanan menentang Nepal.

3. Zikri Khalili

Pemain pertahanan Selangor FC, Zikri Khalili menerima panggilan pertama ke skuad kebangsaan di bawah Cklamovski.

Bek kiri berusia 22 tahun itu sebelum ini menjadi tonggak skuad Bawah 23 Tahun (B-23) dan membantu Selangor meraih MFL Challenge Cup serta muncul naib juara Liga Super dan Piala FA, selain beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Musim ini, pemain berketinggian 1.74 meter itu mencatat 33 penampilan dengan satu gol dan satu bantuan gol.

Kekurangan pengalaman di peringkat antarabangsa turut menjadi faktor Zikri Khalili mungkin disisihkan.—Facebook/MalaysiaNT

Bagaimanapun, persaingan sengit di bahagian tengah menyaksikan Zikri Khalili berkemungkinan diketepikan dalam perlawanan menentang Nepal.

Hal ini kerana, tonggak JDT, Corbin Ong masih menjadi pilihan utama untuk menggerakkan jentera tengah Harimau Malaya menjadikan peluang Zikri lebih terhad.

Selain itu, kekurangan pengalaman di peringkat antarabangsa turut menjadi faktor. Memandangkan ini adalah panggilan sulungnya ke skuad kebangsaan, tahap keserasian dan adaptasinya dengan corak permainan pasukan masih menjadi tanda tanya.

4. Haziq Nadzli

Penjaga gol Perak FC, Haziq Nadzli meskipun mempamerkan aksi cemerlang dalam beberapa perlawanan liga sebelum ini, dijangka hanya akan menjadi penonton dalam perlawanan menentang Nepal.

Ini kerana pengendali Harimau Malaya, Cklamovski, berkemungkinan besar akan menurunkan penjaga gol Harimau Selatan, Ahmad Syihan Hazmi, dan penjaga gol Selangor FC, Kalamullah Al-Hafiz sebagai pilihan utama di posisi tersebut.

Persaingan sengit posisi penjaga gol menyaksikan Haziq (kanan) mungkin terlepas peluang sebagai pilihan utama. —Facebook/MalaysiaNT

Prestasi konsisten yang ditampilkan oleh Syihan dan Kalamullah sebelum ini dipercayai sudah cukup untuk meyakinkan Cklamovski agar memberikan kepercayaan kepada kedua-dua mereka dalam perlawanan penting itu.

Oleh itu, Haziq mungkin perlu menunggu peluangnya untuk membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram