Isu palsukan dokumen, kelab Lembah Klang berisiko disingkir liga


  • Podium
  • Sabtu, 22 Mac 2025

Sebuah pasukan di Lembah Klang didakwa melakukan pemalsuan dokumen untuk tujuan perlesenan kelab mereka.

GARA-GARA ingin menyenangkan urusan proses dokumentasi perlesenan kelab, sebuah pasukan berpangkalan di Lembah Klang menjerat diri untuk berisiko disingkirkan daripada saingan Liga Malaysia (Liga M).

Peguam sukan tempatan, Zhafri Aminurashid, menegaskan bahawa pemalsuan dokumen adalah kesalahan serius yang boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang Malaysia, termasuk Kanun Keseksaan. Menurutnya, Seksyen 463 hingga Seksyen 471 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman berat terhadap mereka yang didapati bersalah dalam kes sedemikian.

Selain daripada tindakan undang-undang, kes berkenaan juga boleh dikenakan hukuman di peringkat bola sepak melalui peraturan yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

BACA LAGI: Hasrat fans Harimau Malaya lihat kelibat Jon Irazabal di kem kebangsaan tertangguh?

BACA LAGI: [VIDEO] Satu masa dahulu Liga Perdana mampu tarik minat 3 import berstatus bintang beraksi di Malaysia

Menurut Artikel 64 Kod Tatatertib FAM, individu yang terlibat boleh dikenakan denda minimum RM2,500 dan penggantungan sekurang-kurangnya 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak. Kelab yang didapati bersalah pula berdepan risiko dikenakan hukuman berat termasuk penyingkiran daripada liga.

“Jawatankuasa Tatatertib FAM bertanggungjawab untuk menjalankan siasatan dan seterusnya menjatuhkan hukuman. Jika laporan polis dibuat, pihak berkuasa akan menjalankan siasatan lanjut dan sekiranya terdapat bukti kukuh serta mendapat izin pendakwaan, pelaku boleh didakwa di mahkamah.

“Sekiranya kesalahan ini melanggar Kanun Keseksaan, ia diklasifikasikan sebagai jenayah dan boleh mengakibatkan hukuman penjara atau denda. Namun, jika hanya melibatkan pelanggaran peraturan MFL atau FAM, tindakan disiplin seperti denda, pemotongan mata liga, atau penggantungan kelab mungkin dikenakan,” katanya kepada Majoriti.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, siasatan awal akan dilakukan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM, dan sekiranya laporan polis telah dibuat, pihak berkuasa akan menjalankan siasatan lebih lanjut sebelum tindakan pendakwaan diambil.

Peguam sukan tempatan, Zhafri Aminurashid.

Zhafri menambah, isu pemalsuan dokumen bukan sahaja memberi kesan kepada kelab yang terlibat tetapi juga boleh mencemarkan reputasi keseluruhan Liga Malaysia. Kelab yang bersalah boleh berdepan dengan tindakan disiplin termasuk kehilangan lesen, denda, pemotongan mata liga, atau larangan bertanding.

“Adalah satu keperluan untuk menjaga integriti liga. Penggunaan dokumen palsu boleh mendatangkan ketidakadilan bagi lain-lain pasukan. Pemalsuan dokumen boleh merosakkan imej kelab sekaligus akan menyebabkan kesukaran untuk mendapatkan tajaan kerana hilangnya kepercayaan kepada pengurusan kelab.

“Peminat dan penaja liga akan hilang minat untuk meneruskan sokongan sekiranya mereka melihat liga ini tidak diuruskan secara telus dan adil. FAM juga boleh dikenakan tindakan oleh FIFA sekiranya aduan dibawa kerana telah melanggar peraturan bola sepak antarabangsa,” jelasnya.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan sebuah kelab Liga Super didakwa melakukan pemalsuan dokumen membabitkan pendaftaran seorang pegawai yang kini bekas kakitangannya bagi perlesenan kelab termasuk memohon lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Sebuah kelab Liga Super memalsukan dokumen untuk melengkapkan perlesenan kelab termasuk memohon lesen AFC.

Isu pemalsuan dokumen itu juga rupa-rupanya sudah sampai ke telinga penyokong dengan sebahagian pengikut pasukan berkenaan bertanyakan situasi tersebut kepada pemilik kelab terbabit.

Perkara berkenaan dibangkitkan oleh sebahagian penyokong pasukan Lembah Klang itu pada satu perjumpaan khas baru-baru ini, yang melibatkan antara kelab penyokong dan pemilik kelab berkenaan.

Bagaimanapun, respons yang diterima agak mengecewakan penyokong apabila pemilik kelab terbabit tidak mempunyai sebarang maklumat mengenainya hingga mendatangkan tanda tanya sejauh mana pengurusan pasukan telus dalam membincangkan hal-hal kelab.

Sementara itu, ketika ditanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selaku badan pengelola, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Mohd Shazli Shaik Mohd memberitahu akan memeriksa perkara tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram