Pernah sertai JDT & Selangor, Armin bakal buat 'comeback' Liga Malaysia?


  • Podium
  • Selasa, 13 Dis 2022

Khabar angin mengatakan bahawa pemain berusia 26 tahun itu bakal menyertai Selangor FC musim depan. — Instagram/armin_97

BARU-BARU ini, penyokong bola sepak tempatan mula berteka-teki apabila pemain muda kelahiran Singapura, Armin Maier Rafi memberi gambaran bahawa dia akan pulang untuk menyinar bersama pasukan Liga Malaysia.

Perkara itu berpunca daripada hantarannya menerusi laman Instagram peribadinya berserta kapsyen 'Teka siapa yang pulang' dengan meletakkan bendera Jalur Gemilang.

Dia yang merupakan graduan akademi pasukan simpanan Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC pernah mencuri perhatian media menerusi kemampuannya untuk beraksi cemerlang sebagai pemain tengah.

Bagaimanapun, selepas kurang diberi kepercayaan, Armin memilih untuk berhijrah ke Eropah untuk berkelana bersama beberapa pasukan kerdil di Jerman dan Iceland.

Musim ini, pemain berketinggian 1.82m itu menyertai SV Heimstetten di divisyen bawahan Jerman untuk memperolehi lebih banyak pengalaman dan minit permainan.

WhatsApp Image 2022-12-13 at 13.51.18

Armin memberi bayangan bahawa dia akan pulang dan menyertai kelab Liga Malaysia. Instagram/armin_97

Tetapi, keputusan tersebut seakan-akan tidak memberi kelebihan buatnya dengan dia hanya diturunkan dalam tiga perlawanan sepanjang musim dengan hanya satu gol berjaya dijaringkan.

Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya dia memilih untuk menyertai mana-mana pasukan Liga Malaysia dengan harapan mendapatkan semula rentak dan kepercayaan bagi memperolehi panggilan antarabangsa.

Ketika ini, khabar angin mengatakan hanya dua kelab, iaitu Selangor FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC berminat untuk membawanya masuk dengan jendela perpindahan masih terbuka.

Namun, setakat ini, dia masih enggan untuk berkongsi mengenai masa depannya dan hanya akan mengumumkan perkara itu dalam masa terdekat untuk mengelak teka-teki semakin rancak.

"Hantaran itu adalah untuk mengatakan bahawa saya sudah pulang ke Malaysia ketika ini dan kemungkinan besar akan ada pengumuman selepas ini," katanya kepada Majoriti.

Selain pernah menyertai Selangor FC II dan JDT II, Armin pernah menimba ilmu di kelab remaja Singapura, Young Lions meskipun dia ketika itu baru sahaja berusia 20 tahun.

36CBCC27-3E88-4DD8-B362-E918B41245E9

Pemain kelahiran Singapura itu pernah mewakili Selangor FC II. Instagram/armin_97

Jadi, dia pasti melakukan pilihan terbaik untuk menyambung zaman permainannya, apatah lagi dia sudah mencecah usia 25 tahun, yang mana dianggap kemuncak karier pemain hari ini.

Dalam masa sama, ketika ditanya mengenai pengalaman yang diperoleh bersama kedua-dua pasukan tempatan itu, Armin menegaskan masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

"Pada saya, Selangor merupakan satu kelab yang cukup hebat di Malaysia dan mereka ketika ini sedang berada dalam landasan yang betul. Tetapi, JDT berada di satu tahap yang berbeza pada pendapat saya.

"Kelab tersebut merupakan pasukan yang bertaraf dunia dan diuruskan dengan cukup baik. Ini semua adalah kerana sifat kepimpinanan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim," katanya.

Tidak cukup dengan itu, dia juga berkongsi pendapat bahawa JDT perhatian penuh terhadap skuad sehingga memberi tanggapan bahawa mereka perlu membalas budi kepada pemilik dan kelab. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram