
APABILA tiba sambutan Hari Raya Aidilfitri, pastinya ia dijadikan peluang untuk setiap pihak saling bermaaf-maafan dan membaiki hubungan antara satu sama lain.
Begitu juga dalam bola sepak. Mengambil semangat Aidilfitri, inilah peluang untuk penyokong memaafkan beberapa individu atau entiti atas kesilapan dilakukan mereka hingga merosakkan musim pasukan kesayangan.
Di hari baik, bulan baik ini. Apa salahnya kita maafkan saja, bukan?
BACA LAGI: [VIDEO] Masih tangkas di gawang gol, fans JDT harap Farizal ikut jejak Aidil
Pengadil Arab 'punca' JDT tersingkir
Johor Darul Ta'zim (JDT) terpaksa berdepan penyudah yang menyakitkan apabila mereka ditunjukkan jalan keluar dari saingan Liga Juara-Juara AFC Elit oleh Buriram United di pusingan 16 terakhir.
Kekalahan 0-1 secara agregat itu dipengaruhi oleh keputusan pengadil, Ahmed Al-Ali ketika aksi kedua diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Dua gol JDT dibatalkan terutamanya jaringan Jorge Obregon pada masa kecederaan separuh masa kedua dimusnahkan oleh keputusan Al-Ali walaupun ulang tayang melihatkan jaringan itu sah.
Namun begitu, bukanlah rezeki JDT untuk mara jauh di Asia. Penyokong JDT, maafkan saja Al-Ali, ya?
Selangor tergelincir ke Piala Cabaran
Satu perkara yang tidak terjangka oleh penyokong Selangor FC adalah tumbangnya mereka dalam Piala Malaysia sekali gus turun ke Piala Cabaran.
Bermain di Piala Cabaran nyata mengecewakan sebahagian besar penyokong Selangor. Mana tidaknya, pelaburan besar dilakukan terhadap skuad tetapi kelab sudahnya mengejar kejuaraan kecil (minor trophy) saja.
Kemenangan Selangor dalam Piala Cabaran tidak begitu diraikan penyokong.
Selangor bagaimana pun memenangi Piala Cabaran selepas mengalahkan PDRM FC di perlawanan akhir secara timbal balik.
Piala Cabaran pun sudah didakap. Apa kata penyokong Selangor maafkan pengurusan kelab atas apa yang berlaku. Boleh?
Perginya Kim Swee kecewakan Sabah
Satu lagi perkara yang mengecewakan penyokong adalah ketika Datuk Ong Kim Swee meninggalkan Sabah FC pada pertengahan musim.
Perginya Kim Swee ke kelab Indonesia, Persis Solo nyata mengecewakan kerana pengendali itu adalah nadi kestabilan buat bola sepak Sabah.
Kim Swee tinggalkan Sabah pada pertengahan musim.
Pemergiannya dikatakan kerana pengurusan tidak meneruskan kontraknya hingga tamat musim sampaikan tempoh Kim Swee bersama Sabah terhenti di pertengahan.
Namun begitu, segalanya sudah berakhir. Penyokong Sabah, sudikah anda memaafkan pengurusan The Rhinos? — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram