
LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengemaskini jadual perlawanan Liga Super 2024-2025 melibatkan perlawanan LS24 dan LS25 selepas pertukaran tarikh perlawanan akhir Piala Malaysia kepada 26 April.
Walaupun pindaan berkenaan telah dipersetujui oleh kedua-dua pasukan yang terlibat namun penyokong tanah air sudah mula muak dengan perubahan jadual tersebut kerana menjejaskan kerancakan liga.
Ketidakseimbangan itu dipercayai berpunca daripada usaha MFL menyesuaikan jadual dengan komitmen beberapa kelab dalam saingan peringkat Asia seperti Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
BACA LAGI: Bukan setakat pemain, 3 coach termasuk Hai-O juga nikmati 'manfaat' Piala MFL bubar
BACA LAGI: Sebelum ke Liga Super, ‘ubi muda’ Penang, Pahang, Terengganu dulunya beraksi di Piala MFL
Menurut pemerhati bola sepak tempatan, pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli, MFL seharusnya mencontohi Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam pengurusan jadual bagi memberi peluang pasukan yang bersaing di pentas Eropah tetap perlu mengikut jadual liga tanpa banyak perubahan.
"Ada pasukan yang main kerap, ada juga pasukan yang berehat lama. Ada juga yang nak menyesuaikan dengan jadual ACLE dengan ACL2. Tapi MFL kena macam EPL untuk menyusun liga. Pasukan yang terlibat pun perlu bijak merehatkan pemain dan memberikan tumpuan kepada perlawanan mana yang lebih penting kan.
"Jadi kalau perlawanan itu yang kurang penting, mungkin menurunkan pemain-pemain simpanan sahaja. Supaya jadual perlawanan tidak terlalu banyak penundaan," katanya kepada Majoriti berhubung pindahan jadual MFL.
Selain itu, Pekan juga berpendapat bahawa jadual liga yang terlalu panjang juga akan memberikan impak besar kepada kewangan kelab. Kos operasi meningkat apabila perlawanan tertangguh, selain menjejaskan perancangan pasukan.
Bukan hanya kelab akan mengalami masalah peningkatan kos, perubahan jadual secara tiba-tiba juga menyukarkan penyokong untuk merancang kehadiran ke stadium, sekali gus menjejaskan sokongan terhadap liga tempatan.
"Bila jadual asyik-asyik bertukar, penyokong jadi malas nak beri sokongan untuk turun ke stadium. Ada penyokong dah rancang awal ikut jadual asal tetapi perubahan jadual ini akan menganggu rancangan mereka," jelasnya.
Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli.
Bagi memastikan perjalanan liga lebih profesional, MFL disaran untuk lebih tegas dalam menetapkan jadual dengan sekurang-kurangnya 70-90 peratus daripada jadual awal dikekalkan tanpa perubahan.
Hanya situasi luar biasa seperti faktor cuaca buruk atau isu keselamatan yang wajar dipertimbangkan untuk sebarang penangguhan.
Jika perkara ini tidak ditangani dengan baik, ia bukan sahaja merosakkan kredibiliti MFL sebagai badan pengelola liga, malah boleh memberi kesan negatif kepada daya saing liga tempatan di peringkat antarabangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram