Bukan setakat pemain, 3 coach termasuk Hai-O juga nikmati 'manfaat' Piala MFL bubar


  • Podium
  • Jumaat, 28 Mac 2025

Dari kiri: Hairuddin, Abdi dan Akmal Rizal berpengalaman dalam Piala MFL sebelum meraih kepercayaan lebih besar.

KEPUTUSAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk membubarkan Piala MFL menerima respons baik daripada ramai pihak memandangkan pertandingan itu membawa kerugian besar buat semua pasukan bertanding.

Berdasarkan pengiraan, badan pengelola itu mendapati kos operasi dan logistik diperlukan mencecah RM28 juta secara keseluruhan yang secara tidak langsung menjadi punca hampir semua kelab bergelut dari segi kewangan.

Pelaburan besar tersebut juga kelihatan tidak membuahkan hasil kerana rata-rata pasukan Liga Super tidak memberi minit permainan kepada 'ubi muda' mereka kerana kepercayaan lebih kerap diberikan kepada pemain senior dan import.

BACA LAGI: Piala MFL dimansuhkan, peluang MFL rombak bola sepak belia Malaysia — Ramon Marcote

BACA LAGI: 'Liga tak stabil, peluang terhad', jurulatih veteran anggap rugi Piala MFL dimansuhkan

Piala MFL dimansuhkan kerana kos operasi yang terlalu tinggi dan membebankan.

Namun, sesetengah penyokong masih beranggapan Piala MFL boleh membawa impak jangka masa panjang kerana terdapat bintang muda Liga Super ketika ini yang beraksi dalam pertandingan itu sebelum ini.

Nama-nama seperti Ubaidullah Shamsul Fazili serta Alif Ikmalrizal merupakan sebahagian produk Piala MFL yang kerap diberi minit permainan dalam pasukan masing-masing sejak dinaikkan pangkat.

Tidak terhenti di situ, kejohanan peringkat Bawah 23 Tahun (B-23) berkenaan turut menjadi platform buat jurulatih untuk menceburi bidang tersebut dengan tiga pengendali meraih manfaat besar daripadanya.

1. Hairuddin Omar

Sejak menggantung but pada 2017, Hairuddin Omar tidak menunggu lama untuk menceburi bidang kejurulatihan kerana tidak lama kemudian, dia diserap ke dalam barisan kejurulatihan skuad B-19 negara yang ketika itu dikendalikan Bojan Hodak.

Pengalaman diraih semasa bersama pengendali kelahiran Croatia tersebut jelas membakar semangatnya untuk terus mendalami dunia berkenaan kerana pada 2022, bekas pemain kebangsaan itu diangkat sebagai pembantu kepada Nafuzi Zain di Terengganu FC.

Bagaimanapun, tempoh diraih dalam kedua-dua pasukan itu tidak cukup untuk membuktikan kebolehan sebenar Hairuddin dalam bidang kejurulatihan memandangkan ramai masih meragui kebolehannya.

Hairuddin membantu skuad muda Sang Penyu menjulang Piala MFL musim lalu. Facebook/Terengganu FC

Menyedari persepsi terhadapnya belum berubah, jurulatih berusia 45 tahun berkenaan kemudiannya mencuba nasib dalam Piala MFL bersama Terengganu FC II musim lalu.

Keputusan itu jelas membuahkan hasil kerana Hairuddin berjaya membawa skuad muda Sang Penyu muncul juara dalam edisi pertama kejohanan dengan menundukkan Johor Darul Ta'zim (JDT) II di perlawanan akhir.

Kepercayaan pihak pengurusan kepadanya diteruskan pada musim berikutnya sebelum dia dipilih sebagai pembantu Badrul Afzan Razali dalam Terengganu FC susulan pengunduran Tomislav Steinbruckner Ogos lalu.

Hairuddin kini dipercayai sekali lagi bergabung dengan Nafuzi dalam skuad B-23 negara selepas kelibatnya kelihatan di sesi latihan Harimau Malaya, namun perkara itu belum disahkan mana-mana pihak.

2. Abdi Hassan

Prestasi tidak menentu di peringkat domestik dan Asia menyaksikan Selangor FC melakukan rombakan kejurulatihan pada pertengahan musim dengan Katsuhito Kinoshi hadir menggantikan Nidzam Jamil.

Bagaimanapun, ramai mungkin terlupa bahawa di antara pelantikan kedua-dua pengendali berpengalaman itu, skuad Gergasi Merah pernah memberi kepercayaan kepada Abdi Hassan yang memegang status interim.

Dia yang dilantik semasa pihak pengurusan kelab mencari pengganti terbaik Nidzam menjadi pilihan kerana impak dibawanya terhadap pasukan muda Selangor FC musim ini dalam Piala MFL.

Abdi Hassan berpeluang bertugas sebagai jurulatih interim Selangor FC. Instagram/Abdi Hassan

Meskipun hanya sempat mengendalikan dua perlawanan, Abdi masih sempat menikmati kemenangan apabila menundukkan Kedah Darul Aman (KDA) FC di gelanggang lawan selain hanya mengalami kekalahan tipis kepada Jeonbuk Hyundai Motors dalam kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two.

Pelantikkan Kinoshi kemudian menyaksikan Abdi kembali mengendalikan skuad muda Gergasi Merah yang kini berpeluang menjulang Piala MFL sekiranya berjaya merekodkan kemenangan dalam baki perlawanan.

3. Akmal Rizal

Sepanjang bertahun-tahun menceburi bidang kejurulatihan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli kerap mengendalikan pasukan belia seperti pasukan SUKMA Pulau Pinang dan Piala Presiden.

Bagaimanapun, tempoh kira-kira semusim dalam Piala MFL bersama Penang FC pada 2023 benar-benar menaikkan namanya dalam bidang itu sehingga menyaksikannya diangkat sebagai pengendali pasukan utama.

Skuad Harimau Kumbang pada awalnya hanya memberi kepercayaan sementara buat Akmal Rizal susulan pengunduran Manzoor Azwira pada penghujung musim, namun impak positif dibawa menyaksikannya dikekalkan pada kempen berikutnya.

Akmal Rizal mempunyai pengalaman luas dalam kejohanan peringkat pembangunan. Facebook/Penang FC

Ini termasuk kejayaan menamatkan kemarau kemenangan dengan menundukkan Sri Pahang FC pada baki perlawanan Liga Super 2023 yang sedikit sebanyak membuka mata penyokong terhadapnya.

Tetapi, tekanan dalam Liga Super gagal dikendalikan Akmal Rizal dengan baik musim ini apabila dia hanya bertahan sehingga November tahun lalu sebelum pihak pengurusan menamatkan khidmatnya.

Jurulatih berusia 43 tahun tersebut kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan, namun impak dan potensi dimilikinya membuka peluang buat mana-mana pasukan berminat untuk melantiknya pada kempen akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram