
SELAIN Kedah Darul Aman (KDA) FC yang mengalami masalah tunggakan gaji, satu lagi pasukan berpangkalan di Utara tanah air iaitu Perak FC juga dikhabarkan dilanda isu sama menjelang sambutan perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.
Ini bukan kali pertama Perak dikaitkan dengan masalah kewangan susulan kelab kini dimiliki oleh syarikat telekomunikasi terkenal, XOX Berhad berkenaan difahamkan mengalami tunggakan gaji sekitar setengah bulan pada Jun 2024.
Selepas berbulan-bulan masalah itu hilang, skuad dengan jolokan The Bos Gaurus (TBG) dikaitkan dengan isu tunggakan gaji dengan ramai penyokong Perak FC sudah mula membicarakan perkara berkenaan di media sosial.
BACA LAGI: Perbicaraan tuntutan gaji LTK-Perak FC bersambung Selasa, pertukaran mahkamah tak beri kesan
BACA LAGI: Tunjuk isyarat 5 jari, skuad muda TBG turut alami isu gaji?
Seperti yang ditulis oleh laman penyokong Perak, Seladang Fan Club berkongsi bahawa pihak pengurusan kelab berkenaan didakwa belum menyalurkan wang kepada pemain dan kakitangan skuad TBG.
"Seminggu lagi nak raya, katanya gaji para pemain dan pegawai tidak dapat lagi. Betul ke? Semoga urusan pengurusan dipermudahkan demi menjaga kebajikan para pemain dan kakitangan," kata laman penyokong itu.
Walaupun sudah dua hari berlalu hantaran berkenaan dan menjadi perbincangan dalam kalangan penyokong domestik, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak pengurusan Perak berhubung isu tersebut.
Tangkap layar hantaran dari Seladang Fan Club.
Malah, Perak juga tampak seolah-olah mengenepikan isu tersebut dan memberi fokus sepenuhnya kepada persiapan aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur (KL) City FC pada 6 April depan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Lebih mengagumkan apabila skuad Seladang juga mengadakan satu perlawanan latihan tertutup menentang Penang FC di Kompleks Bola Sepak Perak, Chepor, Perak. Kedua-dua pasukan dalam persiapan untuk aksi liga super yang akan berlangsung pada bulan april ini.
Usaha mengadakan satu sesi perlawanan latihan tertutup itu mendapat pujian penyokong Seladang kerana ia menunjukkan kesungguhan mereka untuk memperbaiki kedudukan liga dengan tiga baki aksi Liga Super lagi.
Berdasarkan kedudukan semasa selepas 21 perlawanan, pasukan bimbingan Yusri Che Lah berada di tangga ketujuh dengan mengumpul 24 mata. Manakala, Penang FC pula di kedudukan yang ke-10 dengan 20 mata.
Selain Kuala Lumpur, Perak FC selepas ini akan bertemu Sri PahangFC di halaman sendiri, aksi terakhir pula menyaksikan skuad TBG akan berkunjung Stadium Likas, Kota Kinabalu untuk pertemuan menentang Sabah FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram