
KEPIMPINAN Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan patut dipuji dalam usaha beliau mengendalikan skuad sepak takraw kebangsaan.
Hal ini kerana, beliau bersama barisan kejurulatihan skuad negara telah mengadakan post-mortem dengan segera bagi mengenal pasti beberapa kelemahan utama yang dialami oleh pasukan selepas Piala Dunia ISTAF 2025 di Bihar, India.
Menurut Datuk Sumali, walaupun skuad negara gagal mengulangi pencapaian cemerlang seperti pada edisi Piala Dunia ISTAF yang lalu, mereka tetap membawa pulang tiga pingat gangsa sebagai pencapaian.
BACA LAGI: Kita tanggung RM200,000 sebulan supaya KDA FC dapat lesen MFL, tak bising pun — Sanusi
Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan bersama beberapa barisan kejurulatihan skuad negara ketika mengadakan post-mortem.
Beliau menjelaskan bahawa terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada keputusan tersebut, termasuk kesukaran yang dialami oleh pemain dalam beraksi terutamanya ketika bermain dalam bulan puasa.
"Sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), saya berjumpa semua jurulatih sepak takraw kebangsaan untuk post-mortem segera pencapaian skuad negara di Piala Dunia ISTAF, India.
"Turut sama dalam post mortem itu ialah Pengurus skuad sepak takraw negara, Datuk Abu Jimi Samat, Setiausaha Agung PSM, Dato Abidullah Salleh dan Pengurus PDRM, Senior Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh.
"Walaupun bermain dalam suasana bulan puasa di India, kita amat memahami dan berpuas hati pencapaian di negara itu. Fokus kita seterusnya adalah Piala Asia pada bulan Mei ini," katanya.
Pada masa sama, Sumali turut menegaskan bahawa pasukan kebangsaan tidak akan berputus asa dan akan terus memperbaiki kelemahan yang ada.
Fokus mereka kini beralih kepada persiapan rapi bagi menghadapi kejohanan utama yang akan datang, termasuklah Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025, Piala Raja Thai 2025 (Julai) dan Sukan SEA 2025 di Bangkok pada Disember nanti.
"Kita dah kenal pasti beberapa kelemahan dalam acara double dan quadrant. Sebulan untuk perancangan rapi dan memperkasakan terutamanya skuad double dan quadrant negara.
"Dalam masa yang sama, acara regu dan regu berpasukan juga sedang terus giat menjalani latihan. Fokus sebenar kita adalah Piala Asia 2025 di Kuala Lumpur Mei nanti, Piala Raja Thai dan Sukan SEA 2025 nanti," katanya.
Dengan kepimpinan yang penuh komitmen ini, Sumali memberi jaminan bahawa skuad sepak takraw negara akan terus berusaha memperkukuhkan prestasi dan membawa kebanggaan kepada negara pada masa hadapan.
"Inilah kepimpinan sukan yang menjadi contoh kepada semua, tahniah Datuk Sumali Reduan," kata Dazma Shah Daud.
"Insya-ALLAH kita akan kembali lagi kuat, bawah kepimpinan Datuk Sumali Reduan, sukan takraw kita makin meningkat," kata Mohd Zulaifez Zakaria.
"Terbaik Datuk Presiden dan team PSM, perbaiki semua kelemahan yang ada, banyak lagi cabaran yang kita kena hadapi lepas ini. Fighting!," kata Del Zelo. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram