
SEBELUM melangkah ke Liga Super, pasukan seperti Penang FC II, Sri Pahang II dan Terengganu FC II pernah mengasah bakat pemain muda mereka dalam Piala MFL, sebuah platform yang memberi peluang untuk pemain-pemain muda membuktikan keupayaan mereka di pentas kompetitif.
Piala MFL menjadi batu loncatan bagi mereka untuk berkembang dan bersaing, membina asas yang kukuh sebelum memasuki liga utama.
Namun, dengan keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memansuhkan kejohanan tersebut, persoalan mengenai masa depan pembangunan pemain muda tempatan semakin menjadi perhatian.
BACA LAGI: 'Liga tak stabil, peluang terhad', jurulatih veteran anggap rugi Piala MFL dimansuhkan
BACA LAGI: Kos RM28 juta terlalu tinggi, kelab-kelab Liga Super setuju mansuhkan Piala MFL
Pemansuhan tersebut menerima pandangan berbeza daripada jurulatih tanah air dengan sesetengahnya menyambut baik keputusan itu, manakala ada juga yang tidak bersetuju.
Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain muda yang kini berpeluang untuk mengembangkan karier mereka bersama skuad senior.
1. Alif Ikmalrizal
Penyerang muda Penang FC, Alif Ikmalrizal antara contoh pemain yang memanfaatkan Piala MFL untuk mengasah bakatnya sebelum melangkah ke Liga Super.
Dengan ketinggian 1.78 meter, Alif menyertai skuad senior Penang FC pada awal Januari 2023 setelah menghabiskan masa beraksi di Piala MFL.
Pengalaman yang diperoleh bersama pasukan Bawah-23 memberi Alif peluang untuk berkembang dan mempersiapkan dirinya untuk cabaran lebih besar di Liga Super.
Penyerang muda Penang FC, Alif Ikmalrizal. — Facebook/Sripahangfc
Sepanjang 20 perlawanan yang diturunkan dalam Liga Malaysia musim ini, Alif telah menunjukkan prestasi cemerlang dengan mencatat dua gol dan satu hantaran bantuan untuk Penang FC.
Pencapaian itu jelas menunjukkan bahawa pengalaman yang diperoleh dalam Piala MFL memberi impak positif terhadap perkembangan kemahirannya, menjadikannya pemain yang lebih matang dan bersedia untuk menghadapi tekanan di peringkat yang lebih tinggi.
2. Ibrahim Manusi
Bek tengah Sri Pahang FC, Ibrahim Manusi merupakan contoh pemain muda yang berjaya melangkah ke peringkat lebih tinggi setelah beraksi dalam Piala MFL.
Sebelum diberi peluang bersama skuad senior, Ibrahim terlebih dahulu mengasah kemahiran dan pengalaman di Piala MFL bersama Sri Pahang FC II.
Pemain berketinggian 1.81 meter itu menyertai pasukan utama Sri Pahang FC pada Oktober 2022, membawa bersama pengalaman dan pemahaman taktikal yang diperolehnya sepanjang beraksi dengan skuad bawah 23 tahun.
Bek tengah Sri Pahang FC, Ibrahim Manusi. — Facebook/Sripahangfc
Melalui penyertaan di Piala MFL, Ibrahim Manusi memperoleh lebih banyak masa permainan yang membantu meningkatkan kematangannya.
Pengalaman itu memainkan peranan penting dalam membentuknya menjadi pemain yang lebih mantap dan bersedia untuk beraksi dalam Liga Malaysia yang lebih kompetitif.
Pada musim ini, Ibrahim telah menunjukkan kebolehannya dengan tampil dalam 22 perlawanan Liga Malaysia, membuktikan bahawa langkah awalnya di Piala MFL membuahkan hasil.
3. Ubaidullah Shamsul
Pertahanan Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul yang sebelum ini beraksi untuk skuad Terengganu II dalam Piala MFL telah menunjukkan kualiti luar biasa, bukan hanya dalam bertahan tetapi juga dalam menyerang.
Ubaidullah sah menyertai Sang Penyu pada awal Julai 2023 dan menempah nama selaku pencentak gol musim ini.
Sebagai 'ball-playing defender', Ubaidullah berpotensi untuk mencabar tempat dalam pasukan elit dan mungkin dipanggil untuk skuad senior kebangsaan.
Pertahanan Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul. — Facebook/TFC
Ketenangannya dalam membuat keputusan hantaran dan visinya yang tajam membolehkannya memecah pertahanan lawan dengan pantas.
Walaupun berhadapan dengan tekanan pemain lawan, Ubaidullah tetap tenang mengawal bola dan menggerakkannya ke ruang terbuka.
Kelebihannya dari segi fizikal juga memberi ancaman dalam situasi bola mati, di mana dia mampu memanfaatkan kelebihan tersebut untuk mengatasi pertahanan lawan dan memenangi perebutan bola udara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram