
BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Bobie Farid Shamsudin mengungkapkan pandangan kritikal terhadap keadaan bola sepak di Malaysia ketika ini.
Bobie atau dikenali sebagai Ariesham itu mengatakan bahawa walaupun skuad kebangsaan berjaya menewaskan Nepal 2-0 Kelayakan Piala Asia 2027 dan memiliki usaha untuk membawa tujuh pemain warisan ke dalam skuad, hakikatnya bola sepak di Malaysia masih berada di tahap amatur, terutamanya bagi pemain tempatan.
Menurutnya, gaji pemain tempatan dianggap terlalu rendah sekitar RM1,800 hingga RM2,500 mencerminkan kekurangan profesionalisme dalam liga negara.
BACA LAGI: Perjalanan masih jauh, TMJ sedia umum 7 lagi pemain warisan
BACA LAGI: Kita tanggung RM200,000 sebulan supaya KDA FC dapat lesen MFL, tak bising pun — Sanusi
"Dengarnya akan ada tujuh lagi pemain warisan yang bakal menyertai skuad negara. Tujuannya apa? Supaya kita nampak macam Indonesia-lah kan?.
"Nampak power di Asia dan boleh naikkan rating antarabangsa — dan mungkin satu hari nanti ke Piala Dunia.
"Jadi, secara asasnya bola sepak Malaysia is dead untuk pemain tempatan buat masa ini. Ini kerana pemain tempatan kita sebenarnya berada di tahap amatur yang sepatutnya berada dalam skala gaji sekitar RM1,800 ke RM2,500 sahaja," ujarnya menerusi Facebook.
Ariesham menyuarakan pandangan peribadinya mengenai masalah yang kini dihadapi oleh bola sepak tanah air.
Selain itu, Ariesham turut mengkritik usaha untuk menjadikan bola sepak Malaysia sebagai sukan profesional, berbanding dengan negara-negara seperti Jepun dan Korea.
Menurutnya, Malaysia tidak mempunyai budaya sukan berbayar yang mampu menyokong liga profesional kerana kebanyakan penyokong tempatan menaruh harapan yang tidak realistik.
"Selera peminat bola sepak tempatan menginginkan harga tiket murah tapi permainan yang setaraf dengan liga terkenal seperti Liga Perdana Inggeris (EPL) atau LaLiga dan kemudahan stadium yang murah.
"Game kena hujung bulan dan Sabtu malam minggu, kena ada burger dan air dijual dalam stadium tapi nak harga seringgit.
"Semua ini geng-geng kat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tak akan tak tahu yang penswastaan kelab bola sepak akan confirm gagal — melainkan duit turun dari langit," katanya lagi.
Hector Hevel merupakan pemain warisan baharu Harimau Malaya. — Facebook/MalaysiaNT
Pada masa sama, Ariesham turut menyimpulkan bahawa untuk membangunkan bola sepak di Malaysia ke tahap profesional, dana yang diperlukan sangat besar sekurang-kurangnya RM300 juta setahun.
"Untuk Liga Malaysia melahirkan pemain tempatan yang baik, liga ini perlu berada dalam lingkungan RM200 ke RM300 juta setahun.
"Maksudnya, setiap pasukan perlu ada minimum RM15 ke RM20 juta setahun — dan itu belum termasuk kos stadium dan fasiliti latihan. How to get RM15 to RM20 million a team in Malaysia — itulah yang sepatutnya pihak industri kaji dan fikirkan.
"Ini asyik cerita pengurusan b****, tapi realitinya tahap pemikiran ‘palatao’ ini sebenarnya sangat-sangat low class. Macam ada ijazah, tapi b******.
"Mimpi lah industri bola sepak kita akan sampai ke tahap tu. Sukan apa dekat Malaysia ini yang betul-betul profesional?," jelasnya.
Bekas CEO Perak itu turut mengingatkan bahawa tanpa sokongan kewangan yang kukuh, industri bola sepak negara tidak akan berkembang dan terus kekal di tahap amatur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram