Tak putus asa, Kpah Sherman pasang impian dapat beraksi di pentas final Piala Malaysia


  • Podium
  • Khamis, 27 Mac 2025

Kpah memainkan peranan penting dalam membantu skuad Tok Gajah melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia. — Facebook/Sri Pahang FC

DEBARAN menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2024/25 antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Sri Pahang FC pada 26 April depan semakin dirasakan dengan penyokong kedua-dua pasukan sudah tidak dapat menantikan pertembungan hangat itu.

Kelebihan jelas berpihak kepada skuad Harimau Selatan yang hadir sebagai juara bertahan selain sudah menjuarai tiga kejohanan peringkat domestik musim ini, termasuk mempertahankan Liga Super buat musim ke-11 berturut-turut.

Malah, sekiranya hendak dibandingkan dari segi kualiti skuad antara dua finalis itu, JDT memiliki barisan pemain berbanding skuad Tok Gajah yang tempang dalam pelbagai posisi.

BACA LAGI: Fandi pasrah hilang khidmat Kpah, mula cari resipi baharu berdepan JDT

BACA LAGI: Enggan berputih mata, Pahang hantar rayuan tarik penggantungan Kpah Sherman

Fandi pasti mengharapkan penggemur utama pasukannya itu dapat beraksi. — Facebook/Sri Pahang FC

Nasib malang turut merundung Sri Pahang FC kerana kapten pasukan, Kpah Sherman difahamkan juga tidak akan dapat diturunkan selepas dilayangkan dua kad kuning sepanjang kempen Piala Malaysia.

Penyerang kebangsaan Liberia tersebut merupakan watak penting bagi kelab Pantai Timur itu sepanjang kemaraan ke pentas akhir dengan tiga gol dijaringkan daripada enam penampilan.

Oleh itu, kehadirannya dalam pertembungan menentang JDT amat diharapkan dengan pihak pengurusan Sri Pahang FC masih bekerja keras supaya Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menarik semula penggantungan itu.

"Saya berharap dapat beraksi dalam final memandangkan ia bukan kad merah mahupun tindakan agresif. Saya berharap demi moral final, saya dibenarkan untuk diturunkan.

Kpah mahu MFL melihat semula kedua-dua layangan kad kuning yang diterimanya dalam saingan Piala Malaysia musim ini. — Facebook/Sri Pahang FC

"Kad kuning kedua tidak sepatutnya dan saya mengutip kad kuning pertama ketika bertemu Perak hanya kerana bercakap dengan pengadil sedangkan saya seorang ketua pasukan," katanya kepada Nadi Arena.

Musim ini, impak dibawa Kpah kepada skuad Tok Gajah tidaklah sehebat seperti mana pernah dicurahkan pada tahun debutnya bersama kelab Pantai Timur itu dengan usianya semakin meningkat jelas mengganggu gaya permainannya.

Bagaimanapun, secara keseluruhan, penyerang berumur 33 tahun tersebut sudah meledak 11 gol serta satu bantuan jaringan daripada 24 penampilan yang meletakkannya di kedudukan teratas penjaring terbanyak pasukan.

Jadi, Sri Pahang FC pasti mengharapkan MFL dapat menarik semula penggantungan yang dikenakan dengan seorang lagi tonggak, Manuel Hidalgo juga tidak akan beraksi kerana berstatus pemain pinjaman dari JDT. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram