Debut impian Hector Hevel pernah dikecapi 3 lagi bintang Harimau Malaya


  • Podium
  • Khamis, 27 Mac 2025

Hevel (dua dari kanan) juga meledak gol pertamanya untuk Malaysia pada minit ke-29 permainan. — Facebook/MalaysiaNT

SKUAD Harimau Malaya mengorak langkah kanan dalam aksi pusingan ketiga Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 apabila menewaskan Nepal 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Selasa.

Kejayaan mengutip tiga mata itu memberi kelegaan buat Peter Cklamovski bagi perlawanan pertamanya sejak dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya, Disember lalu.

Manisnya aksi tersebut, pemain warisan baharu, Hector Hevel menampilkan aksi cemerlang dalam perlawanan sulungnya bersama skuad kebangsaan dengan menyumbang satu gol pada minit ke-29 menerusi satu rembatan padu dari luar kotak penalti.

BACA LAGI: Sebelum ke Liga Super, ‘ubi muda’ Penang, Pahang, Terengganu dulunya beraksi di Piala MFL

BACA LAGI: 'Liga tak stabil, peluang terhad', jurulatih veteran anggap rugi Piala MFL dimansuhkan

Kejayaan itu menjadi permulaan manis bagi pemain naturalisasi itu yang baru menyertai skuad Harimau Malaya.

Pada minit ke-70 pula, Stadium Sultan Ibrahim sekali lagi bergema setelah Harimau Malaya meledak gol kedua perlawanan menerusi jaringan mudah Corbin Ong.

Bercakap mengenai gol debut Hevel, ia pastinya mengingatkan kita kepada tiga pemain lain yang turut mencipta detik manis serupa.

Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain skuad kebangsaan yang juga mencuri tumpuan dengan gol pada penampilan pertama mereka bersama Harimau Malaya.

1. Mohamadou Sumareh

Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohamadou Sumareh mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air dengan gol debut cemerlangnya bersama Harimau Malaya.

Keputusan pengendali ketika itu, Tan Cheng Hoe menurunkan Sumareh pada babak kedua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Sri Lanka di Stadium Sugathadasa, Colombo pada 2018 membuahkan hasil.

Sumareh (kanan) kini kurang mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan akibat persaingan sengit di jentera serangan. — Facebook/MalaysiaNT

Pemain kelahiran Gambia yang mendapat kerakyatan Malaysia itu mencetak gol ketiga pada minit ke-85, sebelum menambah gol keempat pada minit ke-91 hasil kerjasama dengan Akhyar Rashid.

Lebih manis, Sumareh hanya memerlukan lima minit untuk meledak dua gol, memastikan kemenangan 4-1 untuk Malaysia.

Dalam aksi itu, Norshahrul Idlan Talaha dan Adam Nor Azlin masing-masing mencetak satu gol untuk Harimau Malaya.

2. Dion Cools

Tonggak pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools pernah menjadi bualan hangat selepas mencetak gol debutnya bersama skuad kebangsaan dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia menentang Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Cools yang kini beraksi untuk Buriram United, tampil cemerlang dengan menjaringkan gol kedua untuk Malaysia dalam perlawanan yang diadakan pada 2022 itu. 

Gol tersebut hadir pada minit ke-38 apabila Cools melakukan rembatan padu dari luar kotak penalti, menewaskan penjaga gol Bangladesh.

Aksi cemerlang Cools membantu Malaysia meraih kemenangan 4-1 ke atas Bangladesh, sekali gus menambah satu lagi detik manis dalam karier pemain pertahanan tersebut bersama skuad kebangsaan.

Selain Cools, tiga lagi pemain yang masing-masing mencetak gol ialah tonggak Terengganu FC, Safawi Rasid, Syafiq Ahmad dan Darren Lok.

3. Faisal Halim

Pemain sayap sensasi Harimau Malaya, Faisal Halim juga menambah kenangan manis dalam perjalanan skuad kebangsaan apabila mencetak gol debutnya.

Faisal yang mesra dengan panggilan Mickey itu menjaringkan gol sulungnya dalam kemenangan 3-1 Malaysia ke atas Turkmenistan pada aksi Kelayakan Piala Asia 2023 di gelanggang keramat Harimau Malaya.

Gol sulungnya hadir pada minit ke-16, memberikan kelebihan awal kepada Harimau Malaya dalam perlawanan yang diadakan pada 2022.

Selain Mickey, Safawi Rasid dan pemain skuad Harimau Selatan, Corbin Ong turut mencipta nama selaku pencetak jaring.

Aksi cemerlang Faisal dalam perlawanan itu bukan sahaja memperlihatkan kebolehan individu, tetapi juga mengukuhkan statusnya sebagai pemain penting dalam skuad kebangsaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram