
REVOLUSI baharu Harimau Malaya memulakan langkah kanan selepas menundukkan Nepal 2-0 pada aksi pertama kempen Kelayakan Piala Asia 2027 yang berlansung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Selasa.
Percaturan pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski untuk menyenaraikan Hector Hevel dalam senarai kesebelasan utama membuahkan hasil apabila pemain tengah itu segera memberi impak pada aksi debutnya.
Pemain warisan baharu itu bukan hanya berfungsi menghidupkan bahagian tengah bersama Nooa Laine dan Endrick dos Santos, malah Hevel juga meledak gol pertamanya untuk Malaysia pada minit ke-29 permainan.
BACA LAGI: Pernah ditidurkan 11 hari, bekas penyerang Kedah-Pahang kini derita sakit jantung
BACA LAGI: Hector Hevel hadapi saingan 3 'midfielder'JDT terajui barisan tengah Harimau Malaya
Pemain berusia 28 tahun berkenaan melepaskan rembatan dari luar kotak penalti ke arah gawang The Gorkhalis. Sepakan pemain tengah Portimonense itu terkena badan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Romel Morales sebelum menerjah jaring.
Dalam perlawanan berkenaan menyaksikan Hevel tidak kekok untuk mendapatkan keserasian bersama rakan sepasukan yang lain walaupun tidak sampai tiga minggu berlatih bersama meraka.
Perlawanan pertama di bawah era Cklamovski itu menunjukkan Harimau Malaya rancak melakukan serangan demi serangan ke gawang Nepal namun penjaga gol pasukan lawan, Kiran Kumar cemerlang menafikan percubaan para pemain skuad kebangsaan.
Meskipun menguasai hampir 80 peratus permainan namun skor pada babak pertama kekal 1-0 memihak kepada pasukan tuan rumah hingga ke babak pertama berakhir.
Selain corak permainan menarik yang ditunjukkan pengendali dari Australia itu pada perlawanan pertamanya, usaha Cklamovski menyanyikan lagu Negaraku juga mendapat pujian penyokong tanah air.
Gol Harimau Malaya jaringan Hector Hevel!1-0
Ramai tak dapat tonton kerana masalah teknikal siaran langsung di lokasi.
Kredit: Live Bola Channel pic.twitter.com/nAP30rTO7G
— Majoriti (@majoritionline) March 25, 2025
Memasuki babak kedua, Harimau Malaya meneruskan penguasaan dengan beberapa percubaan berbahaya sebelum Corbin Ong menggandakan jaringan pada minit ke-70, sekali gus memastikan kemenangan 2-0 buat Malaysia.
Kemenangan pertama di bawah kendalian Cklamovski memberi sinar baharu untuk revolusi Harimau Malaya dengan rata-rata penyokong tanah air berpuas hati dengan corak permainan yang digunakan.
"Corak permainan dah sama dengan JDT, main high pressing. Banyak hantaran-hantaran pendek dibuat," kata penyokong Harimau Malaya, Tiger.
"Gila punya corak permainan, pemain Malaysia semua main laju," tambah penyokong Harimau Malaya, Mohd Amer.
"Bukan scam punya warisan Hevel ini, gaya hantaran macam Juan Muniz," komen penyokong skuad kebangsaan, Muhd Syahmi yang menggemari aksi pemain warisan baharu itu.
Kedudukan 2-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk meletakkan Malaysia di kedudukan kedua dalam kumpulan F. Manakala, Vietnam di tangga teratas juga dengan enam mata namun memiliki kelebihan jaringan hasil kemenangan 5-0 ke atas Laos. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram