Kali terakhir beraksi September, arkitek JDT kini kembali ke padang latihan


  • Podium
  • Khamis, 27 Mac 2025

Latihan skuad Harimau Selatan diteruskan menjelang baki aksi Liga Super dan perlawanan akhir Piala Malaysia. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) berpeluang merangkul kejuaraan ke-30 dalam sejarah kelab menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Sri Pahang FC pada 26 April depan.

Kejayaan dalam perlawanan akhir itu menyaksikan skuad Harimau Selatan berpeluang membuktikan dominasi mereka dalam arena bola sepak tanah air dengan ia akan menjadi gelaran keempat pasukan musim ini.

Skuad bimbingan Hector Bidoglio itu juga seperti tidak berdepan sebarang masalah untuk menundukkan Sri Pahang FC melihat kepada lambakan serta kualiti pemain dimiliki.

BACA LAGI: Peluang 50-50 kembali beraksi, katanya misteri kehilangan Hong Wan angkara kecederaan luar padang

BACA LAGI: Hampir 6 bulan 'ghaib', pemain tengah JDT dapat pujian bintang EPL

Hong Wan sudah kembali ke padang latihan selepas beberapa bulan tidak beraksi. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Colombia tersebut pasti mahu menurunkan pasukan terbaik dalam misi merekodkan kemenangan bergaya ke atas kelab Pantai Timur berkenaan.

Namun, di sebalik lambakan pemain dimiliki skuad Harimau Selatan, terdapat satu nama yang kian dilupakan iaitu Hong Wan yang kali terakhir beraksi pada September lalu.

Khidmat serta sumbangan pemain tengah itu amat diperlukan pasukan Selatan tanah air tersebut kerana dia bijak mematahkan serangan lawan dengan asakan keras dalam usaha merebut semula bola.

Tetapi, sejak kali terakhir diturunkan semasa saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite, dia tidak lagi beraksi sehingga terdapat khabar angin mengatakan kariernya menuju penghujung akibat kecederaan.

Natxo Insa mengisi kekosongan ditinggalkan Hong Wan dalam skuad Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Ketiadaannya turut menyaksikan JDT terpaksa meletakkan Natxo Insa yang kian berusia di posisinya dengan persembahan pemain warisan itu sedikit merosot kebelakangan ini disebabkan faktor usia.

Bagaimanapun, dalam perkongsian di laman media sosial kelab baru-baru ini, penyokong mula berasa lega selepas kelibat Hong Wan sudah kembali ke padang latihan bersama rakan sepasukan lain.

Graduan akademi Wolverhampton Wanderers itu kelihatan berada di tahap kecergasan terbaik berdasarkan kit latihan dikenakan dengan ini memberi isyarat bahawa kepulangannya semakin hampir.

"Sudah lama tidak nampak kelibat Hong Wan di atas padang," kata Kojam Nizam.

Keberadaan Hong Wan dalam skuad Harimau Selatan amat dirindui. 

"Hong Wan, sudah lama tidak saksikan anda beraksi. Selamat pulang," kata Ariff Jim's.

"Sudah sembuh ke dia? Boleh menggantikan Natxo Insa selepas ini," kata Mazlan Ahmad.

Untuk rekod, Hong Wan sudah merekodkan 81 penampilan buat skuad Harimau Selatan sejak menyertai kelab itu pada 2021 dengan sembilan kejuaraan berjaya dijulang dalam tempoh tersebut.

Pemain berusia 24 tahun itu berpeluang beraksi dalam baki perlawanan Liga Malaysia 2024/25, termasuk dalam pertembungan akhir Piala Malaysia dengan terdapat kira-kira tempoh sebulan untuknya mempersiapkan diri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram