Fandi pasrah hilang khidmat Kpah, mula cari resipi baharu berdepan JDT


  • Podium
  • Ahad, 02 Mac 2025

Kpah memainkan peranan penting dalam membantu skuad Tok Gajah melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia. — Facebook/Sri Pahang FC

PRESTASI tidak menentu dalam Liga Super 2024/25 membuatkan penyokong Tok Gajah gusar menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 12 April depan.

Dalam lima perlawanan terakhir, Sri Pahang FC tidak mencatatkan sebarang kemenangan, termasuk mengalami kekalahan 1-5 di tangan Terengganu FC dalam aksi pada Khamis lalu

Lebih merisaukan lagi, skuad Tok Gajah dilaporkan akan turut kehilangan dua tonggak utama, Kpah Sherman dan Manuel Hidalgo yang masing-masing membawa impak besar dalam kempen Piala Malaysia mereka musim ini.

BACA LAGI: Enggan berputih mata, Pahang hantar rayuan tarik penggantungan Kpah Sherman

BACA LAGI: [VIDEO] Tak sanggup hilang Kpah di pentas final, Fandi Ahmad sedia buat rayuan

Fandi menyedari tugasan berat menanti skuad Tok Gajah dalam perlawanan akhir Piala Malaysia. Facebook/Sri Pahang FC

Hidalgo yang merupakan pemain pinjaman dari JDT pasti tidak akan dapat diturunkan berdasarkan terma-terma di dalam kontraknya dengan penyokong masih mengharapkan belas ihsan kelab Selatan tanah air itu.

Bagaimanapun, bagi kes Kpah yang juga merupakan kapten pasukan, dia tidak mampu beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur kerana sudah mengumpul dua kad kuning.

Meskipun terdapat usaha untuk menarik semula penggantungan tersebut, pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad sudah mula pasrah bahawa dia tidak akan dapat menagih khidmat penyerang kelahiran Liberia itu.

"Kita masih mencari resipi terbaik untuk mencari pemain yang boleh mengisi kekosongan bakal ditinggalkan Kpah. Kita juga berharap pemain tidak akan mengalami sebarang kecederaan dalam baki perlawanan Liga Super sebelum aksi final Piala Malaysia.

"Kita juga akan mencuba kombinasi baharu untuk memastikan rentak pasukan tidak terganggu. Kita sudah cuba melakukan tiga perubahan semasa perlawanan menentang Terengganu, tetapi ia tidak membuahkan hasil kerana kita mengalami kekalahan teruk," katanya.

Skuad Tok Gajah dirundung pelbagai isu di dalam padang ketika ini. Facebook/Sri Pahang FC

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Suffian Awang berkata, pihaknya akan cuba membuat permohonan terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menarik semula penggantungan itu.

Namun, setakat ini, tiada sebarang keputusan dikeluarkan, sekali gus menyaksikan skuad Tok Gajah terpaksa melupakan khidmat pemain berusia 33 tahun berkenaan ketika berdepan JDT.

Dalam pada itu, Fandi sempat mengingatkan anak-anak buahnya supaya segera bangkit susulan kekalahan di tangan Terengganu FC dalam usaha memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super.

"Kita melakukan banyak kesilapan ketika berdepan mereka, gagal menyempurnakan beberapa peluang dan dihukum dalam situasi serangan balas disebabkan kesilapan dalam barisan pertahanan.

"Tetapi, saya juga perlu memberi kredit kepada pihak lawan kerana sudah menampilkan persembahan cukup baik. Kita perlu belajar daripadanya dan bangkit dalam aksi akan datang," katanya.

Skuad Tok Gajah kini berada dalam kelompok tiga pasukan tercorot dengan hanya 17 mata dikumpul daripada 19 perlawanan dengan aksi menentang PDRM FC pada Selasa menyediakan peluang kebangkitan buat Sri Pahang FC. — The Star/T AVINESHAWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram