
FOTO bekas penyerang skuad remaja Pahang, Abdul Jalil Manan yang kelihatan seperti dirawat di sebuah hospital tempatan kembali ke tular hingga menimbulkan kerisauan mengenai perkembangan terkininya.
Menerusi gambar yang tular di media sosial, ramai menyangka foto berkenaan merupakan perkembangan terkini Abdul Jalil, 53, namun sebenarnya ia merupakan keadaan ketika bekas pemain itu ditidurkan kira-kira enam tahun lepas.
Mendapat perkembangan terkini daripada anaknya, Nur Bainul Adila Mohammad, dia memberitahu ayahnya baru sahaja dibenarkan keluar dari Hospital Jerantut, Jerantut, Pahang akibat menderita sakit jantung.
BACA LAGI: [VIDEO] Hector Hevel bukan scam, gameplay Cklamovski ala-ala JDT bukti revolusi beri sinar baharu
BACA LAGI: 'Agensi, badan kerajaan negeri perlu jadi penaja demi bola sepak Pahang'
Anak kedua daripada enam beradik itu memberitahu selepas menderita penyakit batu karang pada 2019, bekas pemain skuad remaja Kedah tersebut diuji dengan sakit jantung hingga terpaksa beberapa kali dimasukkan ke hospital.
"Pada 2019, ayah (Abdul Jalil) ditidurkan setelah operation buang batu karang di buah pinggang.
"Ketika itu, ayah ditidurkan selama 11 hari dan dirawat di hospital selama 33 hari. Seminggu di Hospital Jerantut, selebihnya di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
"Sekarang ini, ayah kerap keluar masuk wad sebab penyakit jantung yang dihidapinya. Ayah kerap sesak nafas dan boleh dikatakan setiap bulan masuk wad. Baru-baru ini dalam seminggu juga masuk hospital. Cuma kali ini agak kritikal.
"Dua kali ditidurkan selang beberapa minggu sahaja. Dan tiga kali kena elektrik shock. Tapi syukur umurnya masih panjang. Kalau diambil kira dengan 2019 masa ayah dimasukkan ke hospital, ayah dah enam kali ditidurkan," kongsinya kepada Majoriti.
Kongsi Nur Bainul, 32, ayahnya kini masih belum pulih sepenuhnya dan mengharapkan doa orang ramai untuk mendoakan kesihatan dan kesejahteran Abdul Jalil.
Nama Abdul Jalil tidak sepopular pemain yang beraksi di Liga Malaysia (Liga M) namun pemain itu pernah meniti di bibir pengikut bola sepak Pahang pada era 90-an dengan dia pernah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan Piala Razak.
Untuk rekod, ketika zaman kegemilangannya, Abdul Jalil pernah bergandingan dengan bintang bola sepak kebangsaan Azman Adnan selain pernah bersama pemain Azizul Kamaluddin dalam skuad Pahang.
Beliau juga pernah beraksi membantu pasukan remaja negara di kejohanan Piala Belia di Korea Selatan pada 1988 dan pernah beraksi untul skuad utama Kedah selama lima tahun sebelum terpaksa menggantung but akibat hampir lumpuh kerana penyakit saraf. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram