[VIDEO] Fasih berbahasa Melayu, Matt Davies buktikan kesungguhan bermain demi Malaysia


  • Podium
  • Isnin, 24 Mac 2025

Matt Davies merupakan antara pemain warisan yang paling lama berkhidmat buat Harimau Malaya selepas menyertai Liga Malaysia pada 2015.

DALAM beberapa tahun kebelakangan ini, kebergantungan Harimau Malaya terhadap pemain naturalisasi dan warisan kian meningkat kerana standard mereka ada kalanya jauh meninggalkan bakat tempatan.

Lihat sahajalah pada kesebelasan utama terakhir skuad kebangsaan ketika berdepan Singapura yang menyaksikan seramai lima pemain dalam kategori itu diberi kepercayaan penuh.

Meskipun impak mereka masih belum membawa negara ke satu tahap lebih tinggi, ia sekurang-kurangnya dapat membawa perubahan terhadap Harimau Malaya yang pada satu ketika dahulu tidak mempamerkan sebarang kemajuan.

BACA LAGI: 'No wonder hebat', bintang dalam pembikinan Pahang rupanya 'adik emas' tonggak JDT, Sabah, Tok Gajah

BACA LAGI: Azam Azmi dapat restu sarung jersi JDT, bikin Matt Davies tak senang duduk

Skuad kebangsaan semakin berminat dengan kehadiran pemain warisan dan naturalisasi kebelakangan ini.

Bagaimanapun, ada pula sesetengah penyokong seperti kurang teruja dengan pendekatan demikian kerana masing-masing beranggapan pemain naturalisasi atau warisan tidak menunjukkan kesungguhan dipamerkan bakal lokal.

Ini kerana sesetengah daripada mereka gagal menyanyikan lagu kebangsaan sebelum perlawanan, mendalami gaya hidup tempatan selain bergelut untuk bercakap dalam bahasa ibunda.

Hal itu jelas bercanggah dengan negara jiran, Indonesia kerana rata-rata pemain warisan mereka seperti sudah memahami budaya yang membolehkan pasukan kebangsaan tersebut mara ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.

Namun, tohmahan dilemparkan terhadap pemain warisan Harimau Malaya jelas tidak mencalarkan kesungguhan masing-masing kerana baru-baru ini, Matt Davies mengejutkan ramai pihak dengan berbicara menggunakan Bahasa Melayu dalam sidang media praperlawanan.

Dalam sesi itu, bek kanan Johor Darul Ta'zim (JDT) berkenaan memberi pujian besar buat Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang membenarkan penggunaan fasiliti sepanjang sesi latihan skuad kebangsaan di Johor.

Perkongsian daripada kapten Harimau Malaya itu jelas mengagumkan kerana dalam sidang media terdahulu, dia kerap berbicara dalam Bahasa Inggeris kerana sudah terbiasa selepas dibesarkan di Australia.

Kefasihannya berbicara dalam bahasa ibunda tersebut membuatkan ramai berasa kagum kerana ia menunjukkan pemain warisan masih memiliki kesungguhan untuk mendalami budaya tempatan meskipun kerap dikecam penyokong.

"Dia pandai cakap Bahasa Melayu rupanya, baru tahu. Bagus Matt, siap ada Insya-ALLAH. Memang menarik," kata Farhan TR.

"Terbaik Matt kerana boleh bercakap gunakan Bahasa Melayu. Ini menunjukkan pemain warisan ada jiwa untuk bermain bersama Harimau Malaya," kata Dol B Dol.

"Ini barulah betul jiwa Malaysia. Ada orang yang duduk dalam negara berpuluh-puluh tahun, cakap Bahasa Melayu pun pelat seperti kanak-kanak berusia dua atau tiga tahun," kata Muhd Anuar II.

Matt Davies merupakan antara pemain warisan paling lama mewarnai arena bola sepak tempatan setelah menyertai Pahang FA pada 2015 sebelum berpindah ke JDT lima musim kemudian.

Tempoh dihabiskan itu sememangnya memberi peluang buat pemain berusia 30 tahun tersebut untuk mendalami budaya tempatan yang sekali gus akan memperbaiki hubungannya dengan penyokong. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram