SEJAK menyertai Johor Darul Takzim (JDT) pada 2019, Matt Davies tidak berdepan sebarang cabaran untuk mengukuhkan reputasinya sebagai bek tengah utama pasukan.
Di samping memiliki kebolehan untuk menutup peluang lawan, pemain berdarah kacukan tersebut juga cukup penting dalam membantu jentera serangan skuad Harimau Selatan.
Ia dapat dibuktikan dengan catatan enam bantuan jaringan dan dua gol dalam 54 penampilan Liga Super untuk jaguh bola sepak tanah air itu.
Kualitinya juga cukup ditagih dalam skuad kebangsaan dengan namanya sering diletakkan dalam kesebelasan utama Harimau Malaya beberapa tahun kebelakangan ini.
Hal itu sudah menceritakan bahawa Davies merupakan bek kanan terbaik dalam negara dengan posisi tersebut sukar digugat untuk tahun-tahun mendatang di peringkat kelab mahupun negara.
Matt Davies merupakan antara pertahanan terbaik pernah dihasilkan negara.
Bagaimanapun, beberapa bulan kebelakangan ini, timbul khabar angin mengatakan kedudukan pemain berusia 28 tahun tersebut bakal tergugat musim depan.
Ia berikutan ura-ura mengatakan JDT bakal mendapatkan pemain pertahanan Terengganu FC, Azam Azmi Murad bakal disambar JDT pada jendela perpindahan akan datang.
Situasi itu turut dihangatkan dengan bayangan diberikan pelbagai pihak yang seakan-akan merestui kehadiran bek kanan berusia 22 tahun terbabit.
Gosip perpindahan terbabit juga seperti diterima baik rata-rata pengikut setia Harimau Selatan meskipun faham bahawa Davies masih berada dalam kemuncak kariernya.
"Matt Davies kalau diturunkan untuk setiap perlawanan, boleh penat. Biarlah ada persaingan untuknya dan sekurang-kurangnya ada pilihan buat pihak kejurulatihan JDT.
Adakah kedudukan Matt Davies bersama JDT akan tergugat dengan kehadiran Azam Azmi? — Facebook/JOHOR Southern Tigers
"Ia juga akan jadi satu peringatan buat Syahmi (Safari) untuk beraksi dengan lebih keras dan apa-apa pun keputusan pihak pengurusan, kita perlu sokong sahaja," kata Shaie Ahmad.
"Kena fikir untuk masa depan yang lebih terjamin. Karier pemain bola tidak akan bertahan lama dan sekiranya seseorang mengalami kecederaan, tiada pihak akan tanggung.
"JDT adalah tempat terbaik untuk simpanan hari tua. Walaupun duduk di bangku sahaja, anda akan terus dijaga dengan sebaiknya," ujar Aira Azie Adiq.
"Pada pandangan saya, ia amat bagus sekiranya Azam Azmi sertai JDT dan kurangkan beban dipikul Matt Davies. Cuma, rasanya setahun dua baru dia boleh sertai JDT.
"Tetapi, sekiranya perpindahan itu dimeterai musim depan, persaingan akan menjadi lebih kuat buat posisi bek kanan dengan potensi cukup baik dimiliki Azam," kata Hamzah Bin Harjono.
Azam Azmi mula mencipta nama dalam landskap bola sepak tanah air selepas mencipta debut dalam skuad utama Terengganu FC pada 2020.
Meskipun masih muda, pemain kelahiran Pulau Pinang itu sudah menempa namanya sebagai antara bek kanan terbaik sepanjang tiga musimnya bersama skuad Sang Penyu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram