Elak terlalu yakin, Harimau Malaya pernah dikejutkan 3 pasukan 'ranking' lebih rendah


  • Podium
  • Selasa, 25 Mac 2025

Harimau Malaya perlu meraih tiga mata penuh untuk menyuntik keyakinan dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027. — Facebook/FAM

TIGA mata penuh perlu diraih Harimau Malaya ketika berdepan Nepal untuk menghidupkan peluang menduduki tangga teratas dalam Kumpulan F bagi kempen Kelayakan Piala Asia 2027.

Harapan cerah sememangnya dimiliki skuad kebangsaan yang menerima suntikan baharu dengan kehadiran pengendali import, Peter Cklamovski dengan ia merupakan tugasan pertama buatnya.

Selain itu, Harimau Malaya menerima kepulangan penyerang sayap, Faisal Halim yang pertama kali dipanggil selepas kali terakhir menyarung jersi pasukan negara ketika berdepan Korea Selatan pada Piala Asia 2023.

BACA LAGI: 'Masih dalam skuad Harimau Malaya', Cklamovski jawab status 'hilang' Natxo Insa

BACA LAGI: Tidak mustahil Harimau Malaya terbang ke Sabah, Sarawak selepas SSI — FAM

Persiapan rapi diteruskan Cklamovski untuk mendapatkan hasil terbaik. Facebook/FAM

Peluang tersebut turut dicerahkan lagi melihat kepada jurang besar antara skuad kebangsaan dan Nepal dalam ranking FIFA dengan 43 kedudukan membezakan mereka ketika ini.

Perbezaan ketara tersebut sudah tentu memberi kelebihan dari segi mental buat anak-anak buah Cklamovski yang mahu meraih tiga mata dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Johor itu.

Namun, kelebihan itu tidak sepatutnya dijadikan penyuntik semangat kerana berdasarkan pengalaman lalu, terdapat tiga perlawanan menyaksikan Harimau Malaya dikejutkan negara yang di kedudukan lebih rendah.

1. Malaysia vs Kemboja (Disember, 2024)

Contoh terbaru yang menyaksikan skuad kebangsaan bergelut ketika berdepan pasukan bukan pilihan adalah semasa Kejohanan Piala AFF 2024 yang menyaksikan mereka menentang Kemboja di laman lawan.

Perlawanan yang sepatutnya berakhir dengan tiga mata buat Harimau Malaya itu disia-siakan anak-anak buah Pau Marti Vicente yang hanya mampu mencatatkan keputusan seri.

Skuad kebangsaan gagal mengatasi Kemboja dalam aksi peringkat kumpulan Piala AFF 2024. Facebook/FAM

Kemboja ketika itu berada di tangga ke-181 malah mengejutkan skuad kebangsaan yang pada satu ketika mendahului 2-1 sebelum Fergus Tierney hadir menjadi wira untuk mengikat kedudukan.

Kegagalan mencatatkan kemenangan tersebut menceritakan situasi semasa Harimau Malaya pada penghujung tahun lalu apabila mereka acap kali bergelut untuk meraih keputusan positif.

Ini termasuk atas penyingkiran awal daripada kejohanan berkenaan yang kemudian menjadi titik permulaan buat rombakan terhadap Harimau Malaya.

2. Malaysia vs Singapura (Mac, 2022)

Tidak boleh dinafikan bahawa perseteruan antara Harimau Malaya dan Singapura amat dinantikan dalam kalangan peminat bola sepak sekitar Asia Tenggara kerana kedua-dua negara itu berjiran.

Tetapi, sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, pasukan kebangsaan memiliki kelebihan dari segi ranking FIFA dengan skuad The Lions mengalami tempoh agak sukar di atas padang.

Harimau Malaya berputih mata di Singapura kira-kira tiga tahun lalu. Facebook/FAM

Perbezaan itu bagaimanapun tidak menjadi penghalang buat mereka untuk melakar kejutan setiap kali berdepan Harimau Malaya dengan aksi pada Mac 2022 merupakan antara contoh terbaik.

Dalam perlawanan persahabatan tersebut, skuad kebangsaan turun dengan kesebelasan utama terbaik untuk meraih kemenangan bagi memperbaiki kedudukan dalam ranking FIFA.

Bagaimanapun, mereka yang dikendalikan Kim Pan-gon ketika itu terpaksa akur di Stadium Jalan Besar, Singapura dengan tuan rumah mencatatkan kemenangan 2-1 dengan kedua-dua gol dijaringkan Ikhsan Fandi sementara gol Harimau Malaya disumbat Liridon Krasniqi.

3. Malaysia vs Fiji (Jun, 2016)

Pada pertengahan dekad lalu, skuad kebangsaan berada dalam kemelut cukup hebat dengan setiap langkah diambil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerap dipersoalkan penyokong.

Ini kerana Harimau Malaya kerap bergelut di atas padang sehingga menyaksikan mereka sukar meraih kemenangan meskipun hanya berdepan pasukan kecil yang sepatutnya berakhir dengan kemenangan.

Harimau Malaya hanya mencatatkan keputusan seri ketika berdepan Fiji. Agensi

Salah satu perlawanan menyaksikan skuad kebangsaan akur dengan keputusan mengecewakan adalah ketika berdepan Fiji yang bukanlah negara digeruni dalam arena bola sepak.

Pada perlawanan tersebut, negara Ocenia itu menduduki tangga ke-186 dunia sementara Harimau Malaya di kedudukan ke-173, namun perlawanan di King Charles Park, Fiji itu berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Aksi tersebut boleh dikatakan antara titik perubahan buat skuad kebangsaan yang tidak lama kemudian mengalami perubahan bermula dengan rombakan besar-besaran dalam badan pengurusan FAM. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram