
MENJELANG perlawanan penting kempen kelayakan Piala Asia 2027 pada Selasa (25 Mac), pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli optimis sekiranya skuad kebangsaan mampu meraih kemenangan beraksi di laman sendiri.
Menurutnya, Harimau Malaya masih berpeluang untuk mencatat kemenangan, tetapi menasihatkan anak-anak buah Peter Cklamovski agar tidak memandang rendah keupayaan lawan.
"Saya masih yakin bahawa Harimau Malaya dapat mencatat kemenangan ke atas Nepal nanti.
BACA LAGI: Kos RM28 juta terlalu tinggi, kelab-kelab Liga Super setuju mansuhkan Piala MFL
BACA LAGI: TFC masih berpeluang rebut tempat ke-3 liga jika Sabah, Kuching hilang mata — Akram Mahinan
"Apa pun pemain Harimau Malaya tidak boleh memandang rendah keupayaan Nepal sekali pun mereka mencatat sejarah 36 tahun menang 1-0 ke atas Singapura.
"Ia cuma aksi persahabatan dan Singapura dilihat tidak begitu bersedia untuk perlawanan itu," katanya kepada Majoriti.
Ketajaman pemain Harimau Selatan antara yang ditagih bagi membantu memusnahkan impian Nepal. — Facebook/MalaysiaNT
Pekan menambah, kemenangan Nepal ke atas Singapura memberi mereka kelebihan moral untuk berdepan dengan Malaysia terutama kerana Singapura dan Malaysia dianggap setara.
"Ya, sudah pasti Nepal ada kelebihan moral sekarang kerana mereka juga sudah pasti membandingkan keupayaan Singapura dengan Malaysia yang agak setara," jelasnya.
Di samping itu, Pekan turut menaruh harapan tinggi buat barisan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) yang bakal membarisi skuad utama untuk musnahkan harapan Nepal meraih kemenangan.
"Walaupun saya ada kerisauan sedikit kerana Harimau Malaya dilihat agak lambat mempersiapkan pasukan, namun barisan pemain Malaysia terutama dari JDT yang berlatih dan akan beraksi di gelanggang keramat mereka di SSI pasti tidak canggung.
"Mereka pasti boleh menjadi 'game changer' serta kelebihan 'local knowledge' untuk perlawanan itu nanti," ujarnya lagi.
Arif Aiman Hanapi antara pemain muda tempatan yang dijangka bakal menjadi tulang belakang skuad utama Harimau Malaya. — Facebook/MalaysiaNT
Pekan turut berharap agar pasukan kebangsaan dapat membentuk persefahaman yang lebih mantap di bawah kendalian Cklamovski.
"Cuma Harimau Malaya diharapkan dapat membentuk persefahaman yang mantap dan padu di bawah Ketua Jurulatih baru yang menjanjikan corak permainan lebih positif dan pantas.
"Ini corak permainan yang kita perlukan daripada bermain lemah dan kerap menghantar bola ke belakang," katanya.
Di samping itu, Pekan mengingatkan pemain dan pegawai bahawa perlawanan tersebut adalah perjuangan hidup mati bagi Malaysia untuk layak ke Piala Asia 2027.
"Akhir sekali, pemain dan pegawai perlu menyedari bahawa ini perjuangan hidup dan mati Harimau Malaya ke final Piala Asia 2027.
"Jika gagal menang ke atas Nepal, selamat tinggal buat Malaysia walaupun ada Laos dan Vietnam yang perlu dihadapi," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram