
JOHOR Darul Ta'zim (JDT) meneruskan usaha menaikkan lagi reputasi pasukan apabila melantik bekas pemain Barcelona dan Liverpool, Luis Garcia sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab.
Keputusan tersebut menyaksikan Alistair Edwards yang sebelum ini memegang jawatan itu kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) dan Pengarah Teknikal berkuat kuasa April depan.
Rombakan itu membuktikan usaha pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu menyaksikan skuad Harimau Selatan selangkah di hadapan dalam setiap aspek di dalam mahupun di luar padang.
BACA LAGI: [VIDEO] Pernah beraksi di Juventus, Selangor hampir bawa Han Kwang-song sarung jersi Gergasi Merah
BACA LAGI: Manchester United dah jumpa pengganti Andre Onana
Bagi pandagan pemerhati sukan bebas, Afiq Rowley, kehadiran Garcia boleh membantu jenama Harimau Selatan terus berkembang di benua Eropah.
Selain itu, Garcia juga boleh menarik minat ramai pemain-pemain warisan di Eropah untuk menyarung jersi Harimau Selatan selain bintang import yang sudah mempunyai nama dalam kancah bola sepak antarabangsa.
"Kesan yang saya lihat, JDT akan terus berkembang daripada segi promosi di Eropah dengan lebih meluas. Ini menjadikan sasaran mereka untuk mencipta jaringan-jaringan bersama pihak luar berkemampuan hebat semakin jelas.
"Kita tahu latar belakang Garcia sebelum ini bagaimana dan pengaruhnya. Jadi ia suatu penanda aras baharu kepada Harimau Selatan.
"Dengan pengaruh dimiliki, hasrat JDT untuk mendapatkan lebih ramai pemain warisan berkualiti tinggi juga lebih cerah selain mampu membuka ruang kelab berkenaan dapatkan import lebih baik untuk saingan ACLE hadapan," katanya kepada Majoriti.
Ditanya adakah kehadiran Garcia dapat memberikan kesan positif kepada saingan Liga Super, Afiq berpendapat pengalaman dimiliki legenda Liverpool itu pastinya memberi manfaat buat bola sepak tempatan.
"Saya tidak pasti untuk kelab lain. Mungkin JDT boleh gunakan Garcia untuk memberi khidmat nasihat daripada segi penstrukturan gaji kepada kelab-kelab lain yang mahu belajar.
"Apapun jika berlaku, ia bakal menjadi projek serampang dua mata.
"Mungkin, menerusi kenalan-kenalan dan jaringan Garcia, ada peluang saingan Liga Super mungkin bertambah baik menerusi tajaan-tajaan syarikat besar yang dianggap memberi keuntungan buat semua pihak," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram