Selain ‘friendly match’, pakar perubatan kongsi 5 cara kelab boleh bantu pemain kekal fit


  • Podium
  • Isnin, 24 Mac 2025

Kekurangan minit bermain menjadi faktor terbesar seseorang pemain itu sukar untuk menyesuaikan diri dengan rentak dan intensiti perlawanan.

KEJOHANAN liga domestik di seluruh dunia termasuk saingan Liga Malaysia (Liga M) dihentikan sementara bagi memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa di bawah kalendar rasmi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Keputusan itu selaras dengan jadual FIFA yang menetapkan tempoh khas untuk skuad kebangsaan menjalani aksi persahabatan serta pusingan kelayakan kejohanan utama seperti Piala Dunia dan Piala Asia.

Penutupan sementara itu membolehkan pemain-pemain utama daripada pelbagai kelab melaporkan diri bersama pasukan kebangsaan masing-masing termasuk Malaysia yang memanggil seramai 27 tonggak untuk mewakili Harimau Malaya.

BACA LAGI: Kos RM28 juta terlalu tinggi, kelab-kelab Liga Super setuju mansuhkan Piala MFL

BACA LAGI: 'Kelebihan local knowledge JDT jadi pemangkin kemenangan Harimau Malaya di SSI'

Jika para pemain yang terlibat dengan tugasan negara boleh mengekalkan kecergasan mereka, bagaimana pula nasib pemain lain. Pastinya perlawanan persahabatan diperlukan untuk mengekalkan rentak pasukan.

Johor Darul Ta'zim (JDT) dilihat antara pasukan yang melakukan aksi pemanas badan dengan Harimau Selatan merekodkan keputusan 4-1 ke atas kelab Liga Singapura, Albirex Niigata di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

Sekiranya aksi persahabatan memerlukan modal untuk dilaksanakan, Dr Mohd Hazwan Khair yang sebelum ini pernah bertugas sebagai Ketua Perubatan Sukan Selangor FC memberitahu bahawa terdapat lima alternatif untuk kelab membantu pemain mereka kekal cergas.

Permainan latihan intensiti tinggi, latihan spesifik tambahan mengikut posisi, litar kondisioning bola sepak, pemantauan beban latihan dan perlawanan dalaman merupakan lima alternatif boleh dibuat oleh sesebuah kelab.

JDT berhasil menewaskan kelab Singapura itu dalam aksi persahabatan.

"Permainan latihan intensiti tinggi (Small-Sided & Large-Sided Games). Kami menggunakan permainan latihan berintensiti tinggi yang menyerupai situasi perlawanan sebenar termasuk larian pecut, perubahan arah, dan keputusan taktikal.

"Latihan spesifik tambahan mengikut posisi iaitu latihan dirangka berdasarkan peranan pemain. Contohnya, pemain sayap akan lebih fokus kepada larian pecut berulang, manakala pemain tengah akan lebih banyak melakukan kerja aerobik dan anaerobik.

"Litar kondisioning bola sepak iaitu latihan gabungan teknikal dan fizikal yang dilakukan dalam keadaan letih bagi mengekalkan keupayaan kecergasan spesifik bola sepak. Pemantauan beban latihan (Load Monitoring) pula kami akan menggunakan analisis data GPS dan kadar denyutan jantung semasa perlawanan untuk menentukan beban fizikal sebenar.

"Seperti jumlah jarak larian, bilangan pecut (sprint count), high-speed running (HSR), dan perubahan arah; untuk memastikan beban dan intensiti latihan setara dengan minggu perlawanan.

"Perlawanan Dalaman (Intra-squad Matches) merupakan perlawanan sesama sendiri dengan objektif taktikal boleh bantu mengekalkan rentak dan keputusan di bawah tekanan," katanya kepada Majoriti.

Dr. Muhammad Hazwan Khair (kiri).

Dalam pada itu, Dr Hazwan yang juga merupakan Pengarah Perubatan dan Kebajikan Pemain Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) turut memberitahu bahawa terdapat beberapa faktor boleh menjejaskan kecergasan perlawanan hingga pemain sukar mencapai tahap optimum.

Dr Hazwan berkata, kekurangan minit bermain menjadi faktor terbesar seseorang pemain itu sukar untuk menyesuaikan diri dengan rentak dan intensiti perlawanan.

"Kecederaan dan kekurangan suaian fizikal juga salah satu punca menjejaskan kecergasan perlawanan apabila tempoh rehat atau rawatan yang tidak sempurna boleh menjejaskan prestasi fizikal dan tajam mental.

"Pemulihan tidak Cukup: Tidur, pemakanan dan hidrasi yang tidak mencukupi menyumbang kepada keletihan berpanjangan. Aspek Psikologi: Fokus, motivasi dan pengurusan tekanan sangat mempengaruhi prestasi perlawanan, walaupun fizikal berada di tahap baik.

"Faktor Luaran: Perubahan sistem permainan, keadaan padang, perjalanan jauh atau tekanan luar padang juga boleh menjejaskan keupayaan mencapai kecergasan perlawanan terbaik," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram