Berjaya kejutkan Singapura, ramai anggap Nepal beri amaran buat Harimau Malaya


  • Podium
  • Sabtu, 22 Mac 2025

Kejayaan itu menjadi kemenangan pertama Nepal di bawah bimbingan Ross dan juga kali pertama mereka menewaskan Singapura dalam empat pertemuan. — Facebook/FAN

NEPAL melaungkan amaran awal menjelang perlawanan menentang Harimau Malaya kempen pusingan ketiga kelayakan Piala Asia selepas berjaya menewaskan Singapura 1-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa pada Jumaat.

Kedua-dua pasukan memanfaatkan perlawanan tersebut sebagai pemanas badan sebelum menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia 2027.

Kapten Selangor FC, Safuwan Baharudin, mengetuai barisan pertahanan The Lions, manakala pengendali Nepal, Matt Ross, menurunkan Gillespye Jung Karki sebagai tonggak serangan.

BACA LAGI: 'Welcome to...', nama kelab Lembah Klang dicanang destinasi Aidil Sharin

BACA LAGI: "Kalah sekali saja, 10 kali ganda akan perbaiki', Luis Garcia dianggap pemadam memori duka JDT di ACLE

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan gigih mencari gol pembukaan di Stadium Nasional Singapura.

Bagaimanapun, penyokong setia The Lions dikejutkan apabila Karki meletakkan Nepal di hadapan seawal minit ke-12.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Singapura menggandakan usaha dengan melancarkan serangan menerusi Kyoga Nakamura, Abdul Rasaq Akeem dan Farhan Zulkifli.

Namun, segala percubaan yang diatur gagal menembusi pertahanan Nepal, menyaksikan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat babak pertama.

Nepal berhasil mengejutkan Singapura selepas meraih kemenangan 1-0 dalam aksi persahabatan. — Facebook/FAS

Memasuki separuh masa kedua, The Lions melakukan beberapa pertukaran bagi mencari jaringan penyamaan.

Namun, benteng pertahanan The Gorkhalis tetap utuh mengekang setiap serangan, sekali gus memastikan kemenangan buat Nepal.

Kejayaan itu menjadi kemenangan pertama Nepal di bawah bimbingan Ross dan juga kali pertama mereka menewaskan Singapura dalam empat pertemuan.

Dalam pada itu, Harimau Malaya dijangka berdepan cabaran besar apabila dijadualkan menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada 25 Mac nanti.

Menjelang perlawanan itu, ramai penyokong Harimau Malaya berharap skuad kebangsaan tidak memandang rendah keupayaan Nepal.

“Jaga-jaga Harimau Malaya, ini amaran awal untuk Malaysia,” kata Sume Sume.

“Kalau Singapura kalah bererti Nepal setanding dengan Malaysia atau lebih. Singapura pun susah Malaysia nak kalahkan, hati-hati jangan biarkan HM kalah di tempat sendiri,” kata Ismail Mohd Zain.

“Satu saja nak pesan, jangan pandang rendah pasukan lawan, bola itu bulat, apa-apa boleh jadi masa 90 minit itu,” kata Wei Saya Disinii.

“Cuma nak cakap, jangan pandang rendah siapa lawan, keras Nepal ini, baru lah best tengok, game tidak bosan dan lebih mencabar,” kata Yoe Mat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram