Pembantu Naib Presiden bank antara 5 didenda RM3,000 beri maklumat palsu daftar bayi baru lahir


Kesemua lima tertuduh masing-masing dikenakan denda RM3,000 oleh mahkamah. — Buletin TV3

LIMA individu termasuk seorang Pembantu Naib Presiden sebuah bank didenda oleh Mahkmah Majistret di Putrajaya sebanyak RM3,000 kerana memberi maklumat palsu semasa membuat pendaftaran kelahiran membabitkan lima bayi di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Perbuatan yang dilakukan sekitar dua dan tiga tahun lalu dibuat oleh tertuduh, Tan Eek Ming, 44, dua ahli perniagaan iaitu Leong Hon Ming, 52, dan Khor Wooi Huat, 48 serta dua suri rumah, Beh Chui See, 31, dan R Nishanthi, 37 selepas kesemuanya mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

Memetik laporan Buletin TV3, kesemua tertuduh boleh dipenjarakan jika tidak berjaya membayar denda dalam tempoh tiga bulan. Akan tetapi, kesemua tertuduh melakukan pembayaran denda selepas prosiding selesai.

BACA LAGI: Kes GISB: Keputusan ikat jamin 22 ahli termasuk CEO dan isteri ditetapkan 24 Mac

BACA LAGI: Saksi dakwa Zayn Rayyan alami masalah pertuturan tahap teruk, tak dapat ikut arahan

Berdasarkan pertuduhan, kesemua lima tertuduh didakwa secara berasingan dengan mengemukakan maklumat palsu semasa membuat Permohonan Pendaftaran Kelahiran menggunakan Borang Daftar Kelahiran (JPN.LM01) sehingga terkeluar sijil kelahiran.

Kesalahan yang dilakukan mereka itu didapati terjadi di Kaunter Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat JPN, antara 26 Mei 2023 hingga 11 Oktober 2024.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299). Mereka boleh dihukum sabit kesalahan didenda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram