Fazzruddin peniup semangat Kuching City FC kejar penyudahan Top 3


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Sabtu, 22 Mac 2025

Pemain-pemain Kuching City meraikan jaringan kemenangan menentang Selangor FC.

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

MESKI kelibatnya jarang dilihat di Stadium Negeri Sarawak setiap kali Kuching City FC (KCFC) turun beraksi di laman sendiri, beliau kekal sebagai pendorong utama di sebalik tabir dalam memastikan segala keperluan pasukan dipenuhi.

The Cats tidak pernah kekurangan sokongan dan dorongan dengan kepimpinannya di samping tampil antara segelintir pasukan yang tidak dipalit tunggakan gaji – satu masalah yang banyak melemahkan sebilangan besar pasukan dalam Liga Malaysia yang kian menghampiri penghujungnya.

Dengan jumlah peruntukan yang terhad – tetapi tidak semestinya kecil jika dibandingkan dengan sesetengah pasukan lain – KCFC diketahui sangat cermat dan berhemah dalam berbelanja mendapatkan pemain di bawah pengawasan ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak, hingga hasilnya boleh dilihat akhir-akhir ini.

BACA LAGI: [VIDEO] Satu masa dahulu Liga Perdana mampu tarik minat 3 import berstatus bintang beraksi di Malaysia

BACA LAGI: Hasrat fans Harimau Malaya lihat kelibat Jon Irazabal di kem kebangsaan tertangguh?

Berbaki hanya dua perlawanan lagi sebelum tirai musim ini dilabuhkan, KCFC boleh bermegah di tangga ketiga liga hanya di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC – satu kedudukan yang mungkin tidak terlintas di fikiran penyokong ketika liga musim 2024/2025 membuat sepak mulanya pada 11 Mei 2024.

Tidak terkecuali juga Presiden KCFC dan pendorong utama pasukan, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman, yang dikenali sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong merangkap Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Tan Sri Dr. Abang Johari Openg.

Laman Facebook KCFC memuat naik satu video Fazzrudin di bilik persalinan seusai perlawanan yang menyaksikan pasukan tuan rumah itu membuat kejutan apabila menghantar pulang Selangor FC dengan kekalahan 1-2 pada 16 Mac lalu.

“Sudah agak lama saya tidak bercakap kepada anda semua. Izinkan saya bercakap selama 45 minit berikut untuk anda mendengar celoteh saya. Baiklah saya hanya bergurau.

“Siapa yang boleh jangkakan Kuching City berada dalam Top 3 dalam liga. Pada permulaan musim, sasaran saya ialah kelompok pertengahan, nombor 7 atau nombor 8.

“Dan kita mulakan latihan, anda semua telah bekerja keras. Sesetengah daripada anda kata ‘Tidak. Nombor 7 atau nombor 8 bukan untuk Kuching City.’ Saya benar-benar tersentuh apabila saya dengarnya.

“Anda beritahu saya, ‘Presiden, kami telah berbincang sesama kami dan kami tidak akan berpuas hati dengan nombor 7 atau 8. Kami akan sasarkan Top 4 atau Top 5’.

“Dan sekarang kita berada dalam Top 3. Terima kasih kepada anda semua. Inilah apa yang sebenarnya mengenai Kuching City,” katanya disambut sorakan bersemangat pemain-pemain yang sebelum itu menjulang pemain pertahanan, Jimmy Raymond, kerana gol kemenangannya.

Kemenangan KCFC itu turut mengakhiri rekod tanpa kalah Selangor FC dalam 14 perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan sejak kali terakhir tewas 1-2 kepada Sri Pahang FC dalam aksi pusingan 16 Piala Malaysia di Kelana Jaya pada 1 Disember lalu.

“Itu yang kita inginkan sentiasa untuk mendapatkan persembahan konsisten. (Ini) satu kemenangan yang besar untuk Kuching City,” kata Aidil Sharin ketika itu.

Dari detik dia mengambil alih kerusi panas ketua jurulatih pada 2 Ogos 2023 daripada Irfan Bakti Abu Salim yang meletak jawatan, banyak yang sudah berubah terhadap The Cats yang menduduki tangga ke-13 selain muncul naib juara Piala Cabaran pada musim berkenaan.

Merombak keseluruhan pasukan dengan mengekalkan hanya dua pemain dari musim 2023 itu – Alif Hassan dan Diego Baggio -- serta membawa masuk pemain import teruji – antaranya James Okwuosa, Petrus Shitembi, Jordan Mintah dan Kipre Tchetche – The Cats beransur-ansur menyerlahkan peningkatannya.

Jurulatih berusia 47 tahun itu membina semula pasukan sekitar Okwuosa, Yuki Tanigawa dan Rodney Celvin untuk mengukuhkan pertahanan – mereka bolos 51 gol selaku pasukan keempat terburuk musim sebelumnya.

Bayangan awal daripada keserasian skuad berwajah baharu berkenaan terserlah selepas minggu kesembilan Liga Super (LS9) apabila kemenangan 1-0 ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Kuching pada 26 Ogos melonjakkan The Cats ke tangga keempat liga dengan 14 mata – cuma satu mata di belakang Terengganu FC.

Kemudian, jendela perpindahan kedua pada Ogos/September lalu dimanfaatkan dengan ketibaan pemain tengah naturalisasi Bahrain, Moses Atede, dan dua pemain dari JDT, Ramadhan Saifullah dan Hazwan Bakri, untuk mengimbangi keperluan pasukan.

KCFC seakan-akan ‘meletup’ apabila mereka hanya tewas 1-2 kepada JDT di tempat lawan pada 27 September dan sejak itu meraih enam kemenangan, empat keputusan seri dan hanya satu kekalahan – 1-2 kepada Sabah FC di Kuching pada 4 Disember – hinggalah kemenangan terakhir ke atas Selangor FC.

Tiga jadualnya yang tertangguh atau tergendala disebabkan cuaca buruk -- bertemu Sri Pahang FC (A) pada 2 November, menentang Terengganu FC (A) pada 18 Disember dan berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC (H) pada 24 Januari -- turut gagal merencatkan momentum mereka.

Kecuali perlawanan ulangan dengan Terengganu FC yang berkesudahan 2-2 (21 Februari), dua lagi menghasilkan kemenangan 2-0 ke atas Sri Pahang FC (4 Mac) dan 3-0 ke atas KDA FC (12 Mac) untuk KCFC menepis tanggapan bahawa perlawanan yang tertunda itu merugikan mereka.

Aidil Sharin harus sedar kedudukan pasukannya ketika ini mungkin tidak akan bertahan lama, dengan Sabah FC akan lebih dahulu berdepan PDRM FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 5 April dan seterusnya akan berkunjung ke Stadium Darul Aman, Alor Setar untuk berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 18 April.

KCFC pula akan berdepan ujian getir JDT di Kuching pada 17 April sebelum menutup tirai saingan dengan berkunjung ke laman Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 26 April.

Sama ada Top 3 atau Top 5 yang kesudahannya akan menjadi persinggahan terakhir mereka, KCFC tentunya boleh meraikan lonjakan besar dari tangga ke-13 pada penghujung musim 2023 sebagai pencapaian amat bermakna.

Seperti dipetik dalam laporan Majoriti pada 20 Mac lalu, Aidil Sharin boleh bersandar kepada keyakinan terhadap kemampuan pemain-pemainnya mengulangi kesungguhan seperti dipamerkan dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini.

"Pemain berjaya membuktikan keazaman dan semangat untuk menundukkan Selangor yang akan memberikan harapan bagi aksi akan datang berdepan JDT," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram