
ARENA bola sepak tempatan digemparkan dengan pendedahan kononnya sebuah kelab ternama Liga Super melakukan pemalsuan dokumen bagi 'memudahkan' proses dokumentasi perlesenan kelab mereka.
Menurut sumber Majoriti, kelab difahamkan berlokasi di Lembah Klang itu meminta seorang bekas kakitangan untuk menjadi individu yang melengkapkan proses berkenaan bagi perlesenan kelab termasuk memohon lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Isu pemalsuan dokumen itu juga rupa-rupanya sudah sampai ke telinga penyokong dengan sebahagian pengikut pasukan berkenaan bertanyakan situasi tersebut kepada pemilik kelab terbabit.
BACA LAGI: MFL terbuka jemput kelab luar negara meriahkan Liga M
BACA LAGI: Empat bintang 'semi-finalist' ACL 2, wajar jadi pilihan Selangor FC musim depan
Perkara berkenaan dibangkitkan oleh sebahagian penyokong pasukan Lembah Klang itu pada satu perjumpaan khas baru-baru ini, yang melibatkan antara kelab penyokong dan pemilik kelab berkenaan.
Bagaimanapun, respons yang diterima agak mengecewakan penyokong apabila pemilik kelab terbabit tidak mempunyai sebarang maklumat mengenainya hingga mendatangkan tanda tanya sejauh mana pengurusan pasukan telus dalam membincangkan hal-hal kelab.
Dalam pada itu, ketika ditanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selaku badan pengelola, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Mohd Shazli Shaik Mohd memberitahu akan memeriksa perkara tersebut.
Pemangku CEO, Mohd Shazli Shaik Mohd.
"Saya kena periksa semula mengenai perkara itu, saya tak pasti mengenainya. Saya akan periksa semula," katanya ringkas ketika ditemui dałam Majlis Buka Puasa bersama MFL di Hotel One World, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.
Isu pemalsuan dokumen untuk melengkapkan proses dokumentasi perlesenan kelab boleh mendatangkan masalah serius kepada sesebuah pasukan dengan hukuman bakal diberikan kepada mereka.
Terdahulu, Kuala Lumpur (KL) City dikenakan enam hukuman selepas didapati melakukan deklarasi tidak tepat kepada First Instance Body (FIB) semasa membuat permohonan lesen kelab.
Tahun lalu, KL City bimbingan Mirolslav Kuljanac dikenakan enam hukuman berdasarkan kepada peraturan, Lesen Kebangsaan dan Lesen AFC.
Secara keseluruhan, KL City terpaksa menanggung denda RM100,000, pemotongan enam mata, pembatalan dan larangan memohon lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) serta sekatan perpindahan pemain sehingga hujung musim 2024/25.
Mengikut pecahan hukuman, tindakan terhadap lesen kebangsaan menyaksikan KL City dikenakan pemotongan enam mata, denda RM50,000 dan larangan perpindahan pemain sehingga hujung musim 2024-2025.
Berdasarkan lesen AFC, The City Boys tidak dibenarkan untuk memohon lesen AFC selama dua kitaran pelesenan kelab MFL (kitaran 2024/2025 dan 2025/2026), denda RM50,000 dan lesen AFC bagi pasukan itu yang diluluskan oleh FIB untuk kitaran pelesenan kelab MFL 2023-2024 bagi musim AFC 2024-2025 dibatalkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram