
KECOH di dada akhbar kebelakangan ini mengatakan ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak sudah dilamar sebuah pasukan Liga Super difahamkan yang berpangkalan sekitar Lembah Klang.
Tawaran tidak rasmi itu dibuat selepas pengendali kelahiran Singapura tersebut berjaya membawa perubahan drastik terhadap skuad The Cats yang kini berada di tangga ketiga Liga Super.
Meskipun kedudukan tiga teratas tidak menjanjikan aksi di pentas Asia, suntikan dibawa jurulatih tersebut menghangatkan semula arena bola sepak di Bumi Kenyalang sejak kehadirannya pada 2023.
BACA LAGI: Ada import Jepun musim depan, 3 pemain mungkin ikut Kinoshi sertai Selangor FC
BACA LAGI: Sekali lagi layak ke Asia, pengaruh Kinoshi mampu bawa Hiroki Sakai sertai Selangor
Kinoshi membantu skuad Gergasi Merah mengesahkan status naib juara Liga Super 2024/25. — Facebook/Selangor FC
Jadi, tidak hairanlah ura-ura itu timbul dengan pasukan gergasi di Lembah Klang, Selangor FC dikatakan destinasi terbaik selepas berjaya melayakkan diri ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two musim depan.
Sentuhan Katsuhito Kinoshi sememangnya tidak boleh dinafikan membawa impak positif dengan skuad Gergasi Merah berjaya menempuhi rentetan 14 perlawanan tanpa kekalahan selain membantu menamatkan penantian kejuaraan setelah menjulang MFL Challenge Cup.
Bagaimanapun, sesetengah penyokong berasakan jurulatih kelahiran Jepun tersebut wajar ditunjukkan jalan keluar kerana gaya permainan diterapkan terlalu pasif dan kurang menonjol.
Persembahan ditampilkan itu seperti tidak selari dengan apa yang dijanjikan semasa ketibaannya pada November tahun lalu dengan tiada perbezaan ketara dipamerkan berbanding pengendali terdahulu, Nidzam Jamil.
Impak dibawa Aidil Sharin menyaksikan skuad The Cats menduduki tangga ketiga Liga Super. — Facebook/Kuching City FC
Desakan tersebut menyaksikan khabar angin mengatakan Aidil Sharin akan menggantikan Kinoshi musim depan yang sebahagian pemiant pasti teruja untuk menyaksikan perubahan itu.
Tetapi, bagi penyokong tegar Selangor FC, Muhammad Zulhilmi Rusdi, cadangan terbaik adalah untuk terus mengekalkan barisan kejurulatihan sedia ada selepas impak dibawa buat pasukan itu amat memberangsangkan.
"Untuk jurulatih yang tiba pada pertengahan musim bersama pilihan pemain sedia ada, saya rasa 'coach' Kino melakukan tugasan yang cukup baik. Perlawanan demi perlawanan ada peningkatan dari segi taktikal.
"Selain itu, pilihan skuad pemain yang diturunkan setiap perlawanan juga ada variasi. Tak dilupakan juga dia adalah jurulatih Selangor yang terlibat dalam sepanjang 14 perlawanan tanpa kalah," katanya kepada Majoriti.
Kinoshi tiba dengan pengalaman agak terhad dalam dunia kejurulatihan kerana sebelum mengendalikan Selangor FC, dia hanya bertugas sebagai pembantu di beberapa kelab seperti Yokohama FC selain pernah menghabiskan tempoh tiga tahun bersama skuad antarabangsa Serbia.
Aidil Sharin membantu skuad The Cats menjadi antara pasukan terbaik Liga Super. — Facebook/Kuching City FC
Pelantikannya pada awalnya menimbulkan kegusaran ramai kerana skuad Gergasi Merah ketika itu tidak berada dalam rentak terbaik selepas pemergian Nidzam Jamil yang mengalami kekalahan memalukan dalam pentas akhir Piala FA.
Bagaimanapun, meskipun bergelut pada awalnya, Kinoshi berjaya membuktikan kebolehannya dengan memastikan status naib juara Liga Super milik Selangor FC selain mencatatkan keputusan memberangsangkan.
Dalam pada itu, Zulhilmi turut beranggapan Aidil Sharin lebih sesuai kekal di Kuching City FC kerana kehadirannya bersama pasukan itu sedikit sebanyak merancakkan lagi arena bola sepak negara.
"Seeloknya 'coach' Aidil kekal di Kuching City supaya boleh melahirkan lebih banyak pasukan yang kuat dan secara tidak langsung akan memantapkan kualiti liga tempatan kita.
"Mungkin jika ditakdirkan ke Selangor, boleh jadi dia tak menyinar kerana sasaran dan tekanan tinggi daripada penyokong serta pihak pengurusan yang berbeza dengan keadaan di Kuching City sekarang," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram