Ada import Jepun musim depan, 3 pemain mungkin ikut Kinoshi sertai Selangor FC


  • Podium
  • Jumaat, 14 Mac 2025

Doi telah meledak 39 gol dalam 25 penampilannya bersama Geylang International musim ini.

SELANGOR FC sekali lagi mengesahkan tempat mereka ke Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) selepas mudah menundukkan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 7-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu lalu (8 Mac).

Kemenangan itu memberikan tiket buat Katsuhito Kinoshi untuk memacu Gergasi Merah ke pentas Asia buat kali kedua selepas mengharungi kempen ACL 2 musim ini dengan hambar.

Hanya berbaki dua perlawanan Liga Super, sudah timbul khabar angin mengaitkan empat pemain import baharu bakal menyertai Gergasi Merah musim depan.

BACA LAGI: [VIDEO] Masih berteka-teki, 3 bintang Indonesia termasuk Saddil Ramdani pernah dikaitkan bersama Gergasi Merah

BACA LAGI: Bekas peledak Port FC antara 3 pemain Brazil boleh ganti Ronnie Fernandez musim depan?

Khabar angin tentang pemain import Selangor.

Dalam empat pemain import itu, Selangor dikhabarkan bakal diperkuat dengan kehadiran tenaga Jepun selepas sekian lama Gergasi Merah tidak pernah mempunyai pemain dari negara Matahari Terbit itu.

Ia bakal menjadi sejarah baharu dalam bola sepak Selangor untuk mempunyai seorang import daripada Jepun selepas pihak pengurusan mendapatkan Katsuhito Kinoshi.

Jadi siapakah pemain Jepun baharu yang akan menyertai Selangor musim depan? Majoriti senaraikan tiga bintang mungkin perkuat Gergasi Merah musim depan:

1. Hiroki Sakai

Adakah ini masa sesuai buat Kinoshi untuk menggunakan pengaruhnya dalam memancing bekas kapten Jepun, Hiroki Sakai untuk mengetuai cabaran Selangor di pentas Asia musim depan?

Pemain berusia 35 tahun itu antara bintang yang pernah mencipta nama di Eropah bersama kelab Perancis, Olympique Marseille selama lima tahun sebelum kembali ke Jepun pada 2021.

Pengalaman Sakai di pentas Eropah dan kejohanan berpestrij antarabangsa bersama Jepun tidak boleh dipandang mudah oleh pihak pengurusan Selangor.

Sakai mempunyai pengalaman beraski di Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Liga Eropah (UEL) dan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bersama Kashiwa Reysol sebelum dia terbang ke Eropah.

Sebagai pemain pertahanan, Sakai telah merekodkan 16 gol dan 38 bantuan jaringan dalam 470 penampilan kariernya.

Rekod bantuan jaringan itu membuktikan Sakai mempunyai kemampuan untuk membantu barisan serangan meraih jaringan.

2. Tomoyuki Doi

Penjaring terbanyak Liga Singapura, Tomoyuki Doi antara calon yang layak menyertai Selangor musim depan apabila meledak 39 gol dalam 25 penampilannya musim ini.

Kontrak Doi yang tamat pada 30 Jun nanti membolehkan Selangor untuk mendapatkannya secara percuma daripada Geylang International.

Ini bukan pertama kali Doi berjaya menjadi penjaring terbanyak di Kota Singa itu apabila dia pernah meraihnya ketika bersama Hougang United pada musim 2020/21.

Pemain berusia 27 tahun itu juga pernah berkelana ke Eropah pada 2023 untuk menyertai FK Bylis di Albania sebelum pulang ke Singapura musim ini.

3. Takumi Sasaki

Takumi Sasaki merupakan nama yang sudah tidak perlu diperkenalkan berikutan pemain import Jepun itu memainkan peranan cukup penting dalam menyelamatkan maruah Negeri Sembilan pada musim ini.

Sasaki yang beraksi sebagai pemain tengah menyerang musim ini menjadi kunci ketajaman serangan skuad Jang.

Dia mempunyai kualiti untuk membawa bola dengan baik serta mampu melakukan larian-larian menyerang berbahaya ke kotak penalti lawan.

Pemain berusia 27 tahun yang tiba pada awal 2024 itu telah mencetak satu dan tiga bantuan jaringan dalam 25 perlawanan Sasaki diturunkan pada musim ini.

Berdasarkan statistik dan sumbangan berkenaan, tidak hairan jika Sasaki sudah ditawarkan lanjutan kontrak kepadanya untuk kekal di Negeri Sembilan sekurang-kurangnya satu musim lagi.

Jika Selangor berminat untuk mendapatkannya mungkin pihak pegurusan perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk menebus kontraknya bersama Negeri Sembilan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram