
MELIHAT kejayaan Johor Darul Ta'zim (JDT) berjaya melangkah ke pusingan akhir kalah mati Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim ini, pastinya penyokong-penyokong Selangor FC juga mahu sesuatu yang lebih dari pihak pengurusan selepas Gergasi Merah hanya terkandas di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2).
Perkara itu juga didorong dengan kemasukkan pemain-pemain import bertaraf bintang yang sudah menempa nama di pentas Eropah dan dunia di JDT.
Melihat kembali profil pemain-pemain import Selangor musim ini, rata-rata dari mereka sudahpun lanjut usia dan perlu diberi ruang kemasukan bintang lebih muda.
BACA LAGI: Gagal bawa pulang 3 mata, Jimmy Reymond leburkan 14 rekod tanpa kalah Selangor di Kuching
BACA LAGI: [VIDEO] Mahu bawa masuk import lebih muda, ex PSG boleh penuhi hajat JDT
Antara pemain import berusia adalah Yohandry Orozco (Venezuela), Ronnie Fernandez (Chile) dan Safuwan Baharudin (Singapura) yang sudah menjangkau usia 34 tahun musim ini.
Pihak pengurusan pastinya sudah ada calon untuk menggantikan Ronnie pada musim akan datang selepas beberapa calon import telah dikaitkan dengan Selangor musim depan ditambah pula kritikan hebat oleh pemain ke-12.
Manakala di benteng pertahanan pula, Selangor mempunyai beberapa pemain muda tempatan dan Mohammad Abualnadi (Jordan) untuk menggantikan Safuwan.
Kini masih menjadi persoalan, siapakah calon sesuai bagi menggantikan Orozco yang telah bersama Selangor sejak 2023.
Menerusi perkongsian seorang penyokong Selangor, Abidin Majid dalam kumpulan sembang Facebook, Kelab Penyokong Selangor FC, mencadangkan agar pihak pengurusan Gergasi Merah mengintai khidmat Neyder Moreno.
Siapakah Neyder Moreno? Majoriti senaraikan sejarah kelab, statistik dan rekod pernah dicipta pemain berusia 28 tahun itu.
Neyder dilahirkan pada 9 Februari 1997 di Medellin, Colombia dan memulakan kariernya bola sepaknya bersama Akademi Envigado di Colombia.
Pada 2017, pemain tengah menyerang itu berjaya memikat barisan kejurulatihan skuad utama untuk membawanya mewakili Envigado FC selama dua tahun sebelum dibeli oleh Atletico Nacional.
Bersama Atletico Nacional, Neyder gagal mendapatkan minit permainan secara konsisten apabila musim pertamanya hanya beraksi sebanyak tujuh perlawanan.
Neyder kembali ke Envigado pada musim 2020 dan berjaya meledak lima gol dan dua bantuan jaringan dalam 12 penampilannya.
Namun begitu, Neyder yang cemerlang di Envigado gagal mengulangi pencapaian itu bersama Atletico Nacional dan dipinjamkan ke Independiente Santa Fe pada 2021.
Lebih setahun dipinjamkan ke Independiente, Neyder menjadi tonggak utama kelab itu dengan 74 penampilan dan mencetak sembilan gol serta lima 'assist'.
Pada 2023, Neyder kembali ke pangkuan Atletico Nacional sebelum dilepaskan pada 1 Julai 2024 secara percuma.
Tidak pernah keluar beraksi di luar Colombia, Neyder menerima tawaran daripada kelab Australia, Auckland FC untuk mendapatkan khidmatnya secara percuma.
Akhirnya pada 14 Oktober 2024, Neyder secara rasmi menyerai Auckland yang ketika itu baharu sahaja ditubuhkan.
Penampilan rasmi Neyder bersama Auckland ialah ketika menentang Wellington Phoenix pada 2 November tahun lalu dan sejak daripada itu pemain Colombia tersebut merupakan tonggak utama pasukan.
Dalam 18 penampilan, Neyder telah menjaringkan tujuh gol dan dua bantuan 'assist' di Liga Australia.
Jika Selangor berminat untuk mendapatkan khidmatnya, ia merupakan peluang terbaik kerana kontrak pemain itu bersama Auckland akan tamat pada 30 Jun 2025.
Sepanjang 212 kariernya, Neyder telah menjaringkan 38 gol dan 19 'assist' di Liga Colombia dan Australia.
Lebih menarik lagi, Neyder juga pernah menentang Orozco di Liga Colombia ketika import Selangor itu mewakili Deportes Tolima pada 2018.
Selain Orozco, bekas pemain Selangor, Ayron del Valle juga pernah menentang Neyder di Liga Colombia sejak 2017.
Menjadi persoalan, adakah Neyder calon tepat untuk menggantikan Orozco yang cemerlang bersama Selangor sebelum ini? — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram