Gagal bawa pulang 3 mata, Jimmy Reymond leburkan 14 rekod tanpa kalah Selangor di Kuching


  • Podium
  • Ahad, 16 Mac 2025

Antara aksi perlawanan antara Kuching City dan Selangor pada 16 Mac. — Selangor

GELARAN naib juara Liga Super 2024/25 bukanlah tiket selesa untuk anak-anak buah Katsuhito Kinoshi berdepan Kuching City FC di Stadium Negeri, Sarawak selepas tewas dengan keputusan 1-2 hasil jaringan Muhd Ramadhan Saifullah dan Jimmy Reymond pada Ahad (16 Mac).

Selangor yang sah bergelar naib juara Liga Super musim ini dilihat bergelut semasa separuh masa pertama aksi Liga Super ketika berdepan Kuching City yang menurunkan lima pemain import.

Kinoshi yang menurunkan Mohd Faisal Halim dalam kesebelasan utama Selangor dilihat masih belum memberikan sebarang impak di barisan serangan Gergasi Merah meskipun melakar jaringan hatrik.

BACA LAGI: [VIDEO] Mahu bawa masuk import lebih muda, ex PSG boleh penuhi hajat JDT

BACA LAGI: 'Terima kasih atas setiap detik', Safee Sali buka harga jersi Pelita Jaya

Sepanjang babak separuh masa pertama, ketiadaan Safuwan Baharudin di benteng pertahanan Selangor menjadi masalah buat skuad kendalian Kinoshi apabila mereka melakukan kesilapan mudah.

Ketika jaringan Ramadhan berlaku, gerakan Nur Shamie Iszuan mudah memanfaatkan kelopongan di barisan pertahan Selangor yang mana Shahrul Nazeem tidak membuat 'marking' kepada pemain Kuching City itu.

Melihat kesilapan Shahrul Nazeem, rata-rata penyokong Selangor agak kecewa dengan prestasi pemain muda itu.

"Afro (Shahrul Nazeem) ini kalau main, mesti ada bolos," kata Aizat Mohamadd.

"Shahrul Nazeem aku dah bagitahu selalu buat silap tahap liga komuniti," ujar Daus Fahmy.

"Nombor 44 itu kalau dia ada memang bolos," jelas Shahida Sharidah.

Keputusan separuh masa pertama kekal 0-1 dengan Selangor ketinggalan di halaman lawan.

Bersambung babak kedua perlawanan, Selangor hanya memerlukan enam minit untuk menyamakan kedudukan hasil jaringan Mukhairi Ajmal yang mudah menolak bola masuk ke dalam gawang gol Kuching City.

Selepas jaringan itu, kedua-dua pasukan kembali seimbang apabila masing-masing mahu membawa pulang tiga mata penuh.

Pada minit ke-70 hujan turun sangat lebat di Stadium Negeri sekali gus menyukarkan kedua-dua pasukan untuk membina serangan kerana permukaan padang yang lecak.

Namun kekurangan itu dimanfaatkan oleh Kuching City untuk meranapkan impian Selangor membawa pulang tiga mata apabila Jimmy Ramond mudah menolak bola masuk ke dalam gawang Gergasi Merah.

Jaringan Jimmy itu sekali gus menamatkan rekod 14 perlawanan tanpa kalah Selangor di bawah kendalian Kinoshi.

Keputusan tamat 1-2 dengan Kuching City berjaya membawa pulang tiga mata penuh sekali gus naik ke kedudukan nombor tiga Liga Super.

Selepas ini Selangor akan melayani kunjungan Terengganu FC di halaman sendiri pada 5 April, manakala Kuching City pula bakal berdepan JDT di Stadium Negeri pada 17 April. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram